Jawi diarah siasat isu pembesar suara kuat di masjid

LocalPolitics
8 Dec 2024 • 12:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zulkifli Hasan

image is not available
Zulkifli (dua dari kiri) ketika Program Madani Prihatin di Sekolah Rendah Islam Al-Amin.

KUALA NERUS - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarahkan menyiasat dakwaan penggunaan pembesar suara yang kuat ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah masjid di Keramat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini susulan beberapa aduan diterima berhubung perkara itu yang didakwa mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan berhampiran.

"Nanti kita siasat dan semak. Sebenarnya sudah ada pihak yang mempunyai autoriti lakukan tindakan dan apa yang kita katakan bahawa sudah ada kerangka kerja, bidang kuasa.

"Namun begitu sekiranya ada apa-apa permasalahan atau apa-apa isu kita akan tangani sebaiknya. Kita tidak mahu ada apa-apa isu yang mengganggu gugat ketenteraman.

"Insya-ALLAH... kita secara berhemah sebaik mungkin tangani tanpa menerbitkan satu ketidakselesaan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Madani Prihatin di Sekolah Rendah Islam Al-Amin di sini pada Ahad.

Pada program itu, seramai 30 sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyertai gotong-royong membersihkan sekolah tersebut yang terjejas banjir.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, semua pihak termasuk masjid perlu menjaga keharmonian masyarakat walaupun ia melibatkan aktiviti keagamaan.

Menurutnya, sebarang isu dan permasalahan perlu dirujuk kepada pihak yang berautoriti bagi memastikan sebarang aktiviti dilakukan tidak mengganggu sensitiviti masyarakat.

"Jadi nasihat saya pada semua bahawa apabila kita melakukan sesuatu hatta untuk lakukan kebaikan mesti mengambil kira sensitiviti setempat apakah impaknya.

"Paling penting kita lakukan kebaikan tetapi keharmonian antara masyarakat itu kita pertahankan," ujarnya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 36 saat di media sosial berkaitan penggunaan pembesar suara terlalu kuat ketika kuliah agama di masjid tersebut sehingga menimbulkan reaksi kurang senang segelintir penduduk di kawasan berkenaan.

Pada Jumaat lalu, seorang pengguna akaun X telah mempertikaikan tindakan pemasangan pembesar suara kuat ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah masjid di Keramat, Kuala Lumpur.