
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini, seramai 201 orang lelaki telah ditahan oleh polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 28 November yang lalu.
Seramai 117 lelaki warga tempatan yang ditahan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan pada 29 November selepas permohonan reman ke atas individu terbabit ditolak.
Mereka yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan itu berusia sekitar 19 hingga 60 tahun.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ops Songsang: JAWI Masih Jalankan Siasatan, Akan Perhebat Dakwah – Mohd Na’im
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Dr Zaliha Dedah Lesen Spa Disalah Gunakan Untuk Aktiviti Songsang
JAWI panggil seorang individu untuk bantu siasatan
Terbaharu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah bertindak memanggil seorang individu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar individu yang dipanggil itu telah datang ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi bagi diambil keterangan serta dirakam percakapan untuk membantu siasatan.
“Rakaman percakapan tersebut dijalankan berdasarkan kepada Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Akta 560 1997.
“Orang Yang Disyaki (OYDS) telah hadir ke Cawangan Siasatan, Bahagian Peguatkuasaan Jawi dan memberikan kerjasama yang baik ketika sesi rakaman percakapan diadakan. Seterusnya, rakaman percakapan saksi-saksi pula akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengumpulkan maklumat dan keterangan bagi menyokong keterangan mereka,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Seru orang ramai untuk tak pandang remeh, isu ini boleh hancurkan jati diri generasi akan datang
Katanya lagi, beliau menyeru semua pihak untuk tidak sekali-kali memandang remeh kepada gejala keruntuhan moral ini.
Ini kerana, isu ini sekiranya dibiarkan boleh menghancurkan jati diri generasi akan datang dan mencemarkan maruah negara.
“Institusi dakwah perlu memperhebat usaha penerangan kefahaman Islam yang murni kepada masyarakat di lapangan.
“Semoga Allah SWT memelihara kita daripada segala bentuk kerosakan akhlak dan mengurniakan taufik untuk kembali kepada fitrah dan jalan yang benar.”
