Jaya Grocer labur RM100 juta dalam gudang automatik pasar raya pertama di Malaysia

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2025 • 5:48 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia, Jaya Grocer, hari ini mengumumkan pelaburan lebih RM100 juta bagi membangunkan sebuah gudang automatik baharu yang akan memperkenalkan teknologi pintar dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Terletak secara strategik di Selangor, inisiatif ini bukan sekadar membina sebuah gudang automatik berteknologi tinggi sebaliknya mengintegrasikan sistem automasi dan teknologi pintar untuk meningkatkan kecekapan, menggunakan alat data bagi memperkukuh proses membuat keputusan, serta membuka peluang baharu kepada rakyat Malaysia bagi mengambil alih peranan yang lebih berkemahiran dan berteraskan teknologi.

Pelaburan ini menandakan langkah terbesar syarikat itu dalam automasi rantaian bekalan dan merupakan yang pertama seumpamanya dalam sektor peruncitan pasar raya di Malaysia.

Ia akan menjadi hab pengedaran pusat selain memastikan kedai-kedai dapat dipulihkan stok dengan lebih cepat dan berkesan.

Model ini menawarkan bekalan produk segar yang lebih konsisten dan boleh dipercayai selain meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

Terletak di tengah-tengah Petaling Jaya dan dihubungkan dengan lebuh raya utama, gudang ini mengukuhkan rangkaian pengedaran hujung-ke-hujung Jaya Grocer di samping membolehkan integrasi lebih rapat dengan pembekal tempatan.

Dengan menggabungkan skala, automasi dan lokasi strategik, gudang baharu ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi pasar raya Jaya Grocer, malah turut memperkukuh rangkaian penghantaran GrabMart.

Pelaburan ini menyokong aspirasi syarikat untuk mengembangkan keupayaan logistiknya dan mengukuhkan peranannya dalam memacu ekonomi digital Malaysia.

Dengan keluasan sekitar 250,000 kaki persegi dan tinggi 30 meter, kemudahan ini direka untuk menampung penyimpanan automasi berketumpatan tinggi berskala besar dan pergerakan barangan di samping meningkatkan kapasiti penyimpanan sehingga lima kali ganda berbanding gudang semasa.

Sistem canggihnya termasuk Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS), troli robotik, penghantar automatik dan sistem penyusunan, yang akan mengautomasi lebih 80% operasi penyimpanan.

Tahap automasi ini bukan sahaja meningkatkan ketepatan dan mempercepatkan masa penghantaran, malah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Ia mewujudkan laluan bagi rakyat Malaysia untuk beralih kepada pekerjaan berkemahiran tinggi yang berteraskan teknologi.

“Pelaburan Jaya Grocer dalam gudang automatik baharu di Petaling Jaya ini mencerminkan landskap ekonomi yang berkembang pesat serta persekitaran perniagaan yang menyokong yang sedang kami bina di Selangor,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menambah ia selari dengan usaha untuk memperkukuh ekonomi negeri, merangsang penciptaan pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penggunaan teknologi.

"Kami percaya kemudahan ini bukan sahaja akan mempertingkatkan rantaian bekalan sektor pasar raya, malah turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran, membuktikan bagaimana inovasi boleh memberi manfaat secara langsung kepada komuniti kita,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng berkata pembukaan kemudahan baharu ini bukan sekadar memperluaskan operasi, tetapi juga membina hubungan lebih erat dengan pembekal tempatan, mencipta peluang pekerjaan berkualiti untuk komuniti, serta memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada produk segar dan berkualiti setiap hari.

“Masa depan peruncitan bergantung kepada pengukuhan rantaian bekalan dan peningkatan kecekapan melalui inovasi,” tambahnya.

Daniel menjelaskan keputusan untuk melabur dalam gudang baharu dan infrastruktur logistik maju dibuat kerana kemudahan sedia ada Jaya Grocer telah mencapai kapasiti penuh.

“Pengembangan penting ini akan membantu memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, melancarkan aliran kerja operasi dan memperkenalkan teknologi gudang masa depan kepada komuniti tempatan,” katanya.

“Ia juga menyokong matlamat kerajaan dalam pemerkasaan teknologi, di samping mencerminkan strategi Jaya Grocer untuk meletakkan teknologi sebagai teras kepada pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan pekerja,” kata Daniel. – 17 September 2025