
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sarawak bulan depan berhubung tapak tanah bagi tujuan pembinaan pangkalan udara kekal untuk jabatan itu di Sarawak, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.
Ketika ini, katanya pangkalan udara JBPM berpusat di Miri secara sewaan hangar dan keperluan memiliki pangkalan udara kekal di Sarawak adalah untuk memuatkan jumlah pesawat yang lebih banyak.
“Fokus utama JBPM ialah mengembangkan operasi udara selain mempercepat operasi menyelamat dan bantuan penghantaran makanan serta selari dengan perkhidmatan EMARS (Emergency Medical Air Rescue Services) yang akan dikembangkan ke pangkalan baharu yang diwujudkan nanti,“ katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan JBPM di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata kerajaan negeri itu sedia berbincang untuk memberikan tapak tanah sekiranya JBPM tampil mengemukakan permohonan bagi tujuan pembinaan pangkalan udara.
Abdul Wahab berkata selain di Sarawak, JBPM juga memerlukan tambahan pangkalan udara di Sabah yang juga akan memberi perkhidmatan kepada Labuan, di Johor untuk zon selatan dan Pahang bagi zon Pantai Timur.
Pada majlis itu, JBPM menandatangani kontrak perjanjian Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) dengan Iscada Net Sdn Bhd bagi tempoh 25 Oktober 2021 hingga 24 Oktober 2024.
Abdul Wahab berkata kontrak itu merupakan penyambungan yang akan berakhir pada 2024 dengan Iscada bertanggungjawab memastikan premis pelanggan ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang akan dilengkapi dengan sistem SPKA.
Beliau berkata bangunan tersenarai berisiko terutama kilang dan bangunan tinggi wajib dipasang sistem SPKA dan sekiranya gagal berbuat demikian, sijil perakuan bomba tidak akan dikeluarkan kepada premis berkenaan.
Sebanyak 8,500 premis di seluruh negara dilengkapi sistem SPKA dari 2021 sehingga kini, katanya. -Bernama

