JCorp gesa semua pihak bersedia pastikan Johor Bahru sedia terima impak lonjakan ekonomi RTS, CBD

LocalBusiness & Finance
29 Apr 2026 • 12:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JCorp gesa semua pihak bersedia pastikan Johor Bahru sedia terima impak lonjakan ekonomi RTS, CBD Image from: JCorp gesa semua pihak bersedia pastikan Johor Bahru sedia terima impak lonjakan ekonomi RTS, CBD hamden29/04/2026 - 12:41 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 April - Semua pihak berkepentingan digesa memastikan pusat bandar Johor Bahru berada dalam keadaan benar-benar bersedia bagi menyokong impak pembangunan projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor-Singapura.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, kejayaan transformasi bandar tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya bergantung kepada penyelarasan antara dasar, pelaburan modal serta pelaksanaan yang berkesan.

 

“Bandar tidak menjadi hebat secara kebetulan. Ia menjadi hebat secara komersial apabila modal mempercayai dasar, dasar membolehkan modal, dan kedua-duanya memilih pelaksanaan berbanding retorik,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel CEREBRUM Insights: Sistem transit pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura 2026 & Peluang Pusat Perniagaan (CBD) Johor Bahru semalam.

 

JCorpB1
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim

 

Bengkel tertutup yang menghimpunkan pembuat keputusan pelbagai sektor daripada kerajaan persekutuan Malaysia, negeri Johor dan Singapura bertujuan menterjemahkan projek RTS kepada impak ekonomi, spatial dan dasar yang nyata bagi CBD di Johor Bahru.

 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna & Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han. 

 

Syed Mohamed yang juga Pengerusi CEREBRUM berkata, RTS akan membawa peningkatan pergerakan dan aliran manusia yang ketara ke pusat bandar, namun nilai ekonomi sebenar hanya dapat direalisasikan sekiranya pergerakan tersebut diterjemahkan kepada aktiviti komersial yang berkesan.

 

“RTS akan membawa pergerakan; adalah tanggungjawab kolektif kita untuk memastikan pergerakan itu membawa nilai, dan Ibrahim International Business District berkembang menjadi pusat bandar yang setanding dengan aspirasi komersial Johor,” katanya.

 

Syed Mohamed turut menegaskan proses menukar mobiliti kepada aktiviti ekonomi atau “conversion” tidak berlaku secara automatik, sebaliknya perlu dirancang melalui keputusan yang diselaraskan merangkumi guna tanah strategik, kebolehlaluan (walkability) serta pembangunan infrastruktur yang menyeluruh.

 

Menurut beliau, pembangunan Pusat Perniagaan (CBD) yang berdaya saing hanya boleh dicapai melalui “perkongsian berdisiplin” antara sektor awam dan swasta, memandangkan kedua-dua pihak tidak mampu membangunkan pusat bandar berprestasi tinggi secara bersendirian.

 

JCorpB2
Sesi perbincangan membabitkan panelis daripada pelbagai latar belakang kepakaran.

 

Sebagai sebahagian daripada fasa pertumbuhan Johor di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), bengkel tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan teras bandar berprestasi tinggi yang meliputi integrasi mobiliti, kesediaan perancangan bandar serta pengaktifan komersial.

 

Semasa bengkel tersebut, peserta turut meneliti cabaran sebenar seperti kekangan infrastruktur dan jurang sambungan “last-mile” yang perlu ditangani bagi memastikan keberkesanan pembangunan CBD.

 

 

 

 

 

 

 

Program berkenaan turut menampilkan pembentangan industri oleh Dr Rosli Azad Khan dari MDS Consultancy, diikuti sesi kumpulan pelbagai pihak berkepentingan. 

 

Hasil perbincangan akan digabungkan dalam laporan berorientasikan tindakan oleh JCorp untuk dikemukakan kepada Menteri Besar Johor bagi menyokong pelaksanaan serta penambahbaikan dasar.

 

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus berterusan CEREBRUM, susulan inisiatif terdahulu seperti Johor Conversations dan sesi JC Kopi. - DagangNews.com

Terkini featured standard