hamden28/10/2026 - 10:54 KUALA LUMPUR 28 Okt - Johor Corporation (JCorp) pada Selasa menafikan dakwaan yang mengaitkan kumpulan itu dengan syarikat perladangan Indonesia yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah, susulan laporan terbaharu yang diterbitkan oleh Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI).
Dalam kenyataan, JCorp menjelaskan pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
JCorp turut menjelaskan melalui anak syarikat milik penuhnya, Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim), kumpulan itu telah melupuskan kepentingannya dalam beberapa syarikat di Indonesia pada 2007.
"Pelupusan itu melibatkan PT Graha Cakra Mulia, PT Sumber Mahardhika Graha, PT Salonok Ladang Mas dan PT Harapan Hibrida Kalbar pada 8 Ogos 2007, diikuti PT Trimurti Sumbertama pada 26 September 2007. Semua pelupusan tersebut direkodkan dalam Laporan Tahunan JCorp 2008," katanya dalam kenyataan itu.
JCorp menambah pada 6 Julai 2023, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi entiti, iaitu PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya, kepada PT Bakung Starch Lestari.
Tiada kepentingan pemilikan atau penglibatan operasi
JCorp menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan pemilikan atau penglibatan operasi dalam syarikat-syarikat berkenaan.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan berkata penerbitan dan penyebaran berterusan dakwaan tidak berasas tersebut menimbulkan tanggapan salah bahawa JCorp memiliki, mengawal atau mengendalikan syarikat-syarikat terbabit, sekali gus mengaitkannya dengan insiden yang didakwa berlaku.
“Sebagai sebuah institusi milik kerajaan negeri, dakwaan tidak berasas ini menjejaskan reputasi JCorp dan Kerajaan Negeri Johor secara serius,” menurut kenyataan itu.
JCorp ialah organisasi berteraskan nilai dengan jumlah aset melebihi RM26 bilion setakat akhir tahun kewangan 2025 (FY2025).
Syarikat teras JCorp, iaitu KPJ Healthcare Berhad, JLand Group Sdn Bhd, Johor Plantations Group Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Johor Capital Group Sdn Bhd, menerajui kepentingan kumpulan itu dalam lima sektor utama, iaitu kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur, agribisnes, makanan dan restoran serta modal jangka panjang.
Baru-baru ini, analisis oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, WALHI, mendakwa bahawa 21 syarikat yang dikaitkan dengan entiti perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran tanah dan hutan di Indonesia antara Januari hingga September 2026.
Perkara itu diketengahkan dalam laporan pemetaan bertajuk “Siapa di Sebalik Kebakaran?” yang diterbitkan oleh badan eksekutif kebangsaan organisasi berkenaan. - BERNAMA



