#VIRAL Tunku Azizah tutup akaun Twitter

Digital
9 Jan 2020 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Seperti yang kita sedia maklum, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sering dilihat menggunakan Twitter rasmi miliknya @cheminahsayang untuk berkongsi sesuatu perkara dari sudut pandangannya sendiri.

Terkenal dengan sifatnya yang ramah dan berjiwa rakyat, baginda menggunakan akaun media sosialnya itu untuk berinteraksi dengan rakyat serta berkongsi momen-momen indah baginda dari sudut pandang sebagai Raja Permaisuri Agong.

Rata-rata netizen gemar melihat dan memuji pendekatan yang dilakukan oleh Tunku Azizah di setiap perkongsiannya sehingga ada beberapa yang menjadi tular dalam kalangan netizen yang suka melihat telatah baginda.

Namun begitu, semakan di media sosial sebentar tadi mendapati akaun Twitter rasmi milik Tunku Azizah tidak ditemui dan kelihatan seperti telah dinyahaktif dan ada netizen meluahkan akaun Twitter baginda telah digodam.

Sebelum akaun tersebut hilang, baginda merupakan seorang yang aktif dalam Twitternya yang berkongsi tentang memelihara penulisan jawi dan baginda juga mula memuat naik ciapannya di Twitternya menggunakan tulisan jawi.

Ketiadaan akaun media sosial Tunku Azizah itu telah menjadi bahan bualan ramai netizen yang turut menyatakan rasa sedih mereka.

Berikut sebahagian respon yang diluahkan pengguna media sosial susulan tindakan Tunku Azizah yang mungkin telah nyahaktif akaunnya.

"Bayangkan bangun-bangun pagi nak tengok ciapan Twitter daripada baginda Permaisuri sekali Tuanku dah pun tutup akaun Twitternya yang saya merasakan ada orang yang tidak berkenan dengan tindakan yang dilakukannya," tulis @DianaALi di Twitter.

@harun34 pula memberitahu, "Rasa nak menangis tengok Raja Permaisuri dah tiada dekat Twitter. Saya amat mengagumi baginda kerana baginda berani dan memberi kami pembelajaran untuk mempelajari tulisan jawi."

Malah, ada yang menyatakan bahawa Raja Permaisuri Agong menyahaktifkan akaun Twitternya kerana terdapat segelintir netizen mengeluarkan komen-komen negatif tentang perkongsian baginda.

"Bangun-bangun dapat berita sedih Raja Permaisuri Agong telah pun deactivated Twitter baginda kerana komen negatif dari sikap bodoh sesetengah rakyat Malaysia. Kenapa busuk hati sangat ini," kata @Asurlahdin.