JDT julang Piala FA, remuk harapan Selangor FC tamat kemarau piala

LocalFootball
25 Aug 2024 • 12:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan JDT meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Bernama

JUARA bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah lambakan koleksi kejuaraan selepas menundukkan Selangor FC 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA 2024/2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.

Kejayaan yang dipacu antaranya jaringan hatrik pemain tengah import Juan Muniz membolehkan skuad Harimau Selatan mempertahankan gelaran juara Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.

Di awal aksi pertembungan dua pasukan teratas Liga Super itu menyaksikan permainan berintensiti ditampilkan apabila JDT dan Selangor saling berbalas serangan dengan beberapa peluang jaringan tercipta tetapi gagal disudahkan dengan baik.

JDT kendalian Hector Bidoglio berjaya membuka akaun gol menerusi sepakan percuma padu Muniz pada minit ke-26 sebelum pemain sayap kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi menggandakan kedudukan pada minit ke-42 untuk meletakkan pasukan selesa menjelang waktu rehat.

Selepas 45 minit pertama yang mengecewakan, Selangor memulakan aksi babak kedua dengan positif yang membawa kepada gol pertama skuad Gergasi Merah yang dijaringkan penyerang import Alvin Fortes pada minit ke-59.

JDT menambah derita Selangor selepas penyerang import Heberty Fernandes meledak gol kelima pasukan pada minit ke-76.

Ketika permainan seakan berakhir dengan keputusan 5-1, Muniz memastikan beliau pulang dengan senyuman apabila mencetak hatrik untuk mengesahkan kemenangan bergaya pasukan ke atas Selangor sekali gus merangkul gelaran Piala FA kali keempat.

Ini merupakan kejayaan kedua JDT musim ini selepas turut dinobatkan sebagai juara perlawanan Sumbangsih, Mei lepas.

Kekalahan itu menyaksikan kemarau kejuaraan Selangor berterusan selepas kali terakhir menikmati kejayaan dengan memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Kali terakhir Selangor menjuarai Piala FA ialah tahun 2009 selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti. - Bernama