JDT Kini Setaraf Gergasi Asia: Kelab Liga M Lain ‘Wajib’ Berubah 

LocalFootball
18 Apr 2026 • 1:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

JDT Kini Setaraf Gergasi Asia: Kelab Liga M Lain ‘Wajib’ Berubah 

PETALING JAYA - Sudah tiba masanya peminat dan pengurusan bola sepak tempatan membuka mata seluas-luasnya untuk mencontohi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terus mencipta nama di peringkat Asia.

Dominasi skuad Harimau Selatan yang melebihi sedekad dalam liga utama tempatan, selain muncul lapan pasukan terbaik Asia selepas berada di suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) bukan lagi sekadar naratif kemegahan satu pasukan, tetapi satu penanda aras baharu yang wajib dicontohi kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) jika mahu Malaysia dipandang di peringkat antarabangsa.

Meskipun tewas 1-2 kepada Al-Ahli yang memiliki nilai pasaran sebanyak RM806 juta berbanding JDT hanya RM64 juta, namun statistik perlawanan membuktikan bahawa skuad Harimau Selatan bukanlah sekadar pelengkap jadual, malah berjaya memberikan tentangan yang cukup sengit kepada gergasi Arab Saudi tersebut di Stadium King Abdullah Sports City.

​Menentang juara bertahan yang dibarisi bintang dunia seperti Riyad Mahrez, Ivan Toney, dan Franck Kessie, JDT tidak menunjukkan rasa gerun. 

Sebaliknya, statistik menunjukkan anak buah Hector Bidoglio sebenarnya mampu 'mengajar' pasukan bernilai ratusan juta ringgit itu, di mana jentera serangan JDT mencatatkan 11 jumlah percubaan, mengatasi 10 percubaan yang dilakukan oleh Al-Ahli. 

Daripada jumlah itu, skuad Harimau Selatan berjaya menguji kecekapan penjaga gol lawan, Edouard Mendy dengan lima percubaan tepat, manakala Al-Ahli pula sekadar melakukan empat percubaan ke arah gawang JDT.

​Dari segi penguasaan perlawanan, JDT membuktikan mereka mampu mengimbangi kualiti pemain bintang dunia apabila mencatat 48 peratus pegangan bola, hanya berbeza dengan 52 peratus milik tuan rumah. 

Ketajaman dan disiplin taktikal kedua-dua pasukan juga dilihat setara apabila masing-masing memperoleh lima sepakan penjuru, menggambarkan betapa rancaknya serangan balas yang dilancarkan sepanjang 90 minit permainan.

​Justeru, kepada pasukan lain dalam Liga M, kejayaan JDT seharusnya dilihat sebagai inspirasi, bukannya ancaman, malah budaya 'dengki' dan mentaliti menjatuhkan sesama sendiri hanya akan merugikan ekosistem bola sepak negara. 

Jika benar kita mahu melihat Jalur Gemilang berkibar megah di pentas dunia, standard liga perlu dinaikkan secara menyeluruh bukan sekadar selesa di tahap sederhana.

Sebagai rekod, JDT merupakan kelab Malaysia pertama yang berjaya memecah tembok suku akhir kejohanan elit Asia, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai kelab terbaik di Asia Tenggara (ASEAN).

Kemaraan ke suku akhir ACLE menyaksikan JDT dijangka meraih ganjaran lumayan mencecah AS$1.8 juta (RM8.5 juta), jelas membuktikan bahawa pelaburan yang bijak dan pengurusan profesional akan menghasilkan pulangan yang setimpal, bukan sahaja dari segi trofi tetapi juga ekonomi kelab.

Hakikatnya terbukti JDT kini adalah wajah sebenar bola sepak moden tanah air. - Getaran, 18 April 2026

View Original Article