JDT Sah Juara Liga Super Kali Ke-12 Berturut-turut

LocalFootball
16 Mar 2026 • 8:47 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan bola sepak tempatan terus berlanjutan apabila kelab gergasi itu mengesahkan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke-12 berturut-turut selepas menewaskan DPMM FC 3-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengumpul 57 mata hasil 19 kemenangan berturut-turut, sekali gus menjadikan mereka tidak lagi mampu dipintas oleh mana-mana pencabar walaupun saingan liga masih berbaki lima perlawanan.

Kejuaraan itu juga menjadi trofi domestik ketiga buat JDT musim ini selepas mereka terlebih dahulu menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Piala FA Malaysia.

Lebih menarik, pasukan kendalian Xisco Munoz itu kini berada di landasan terbaik untuk meraih “quadruple” domestik buat kali keempat berturut-turut selepas turut mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia.

JDT Terus Ganas

Pada aksi malam ini, JDT membuka jaringan menerusi sepakan percuma cantik oleh Ager Aketxe pada minit ke-32.

Memasuki babak kedua, Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan apabila Oscar Arribas menggandakan jaringan pada minit ke-73 sebelum Marcos Guilherme menambah gol ketiga hanya tiga minit kemudian.

Keadaan bertambah sukar buat DPMM FC selepas pemain mereka, Fairuz Zakaria, dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Selain saingan domestik, JDT juga masih berpeluang menambah koleksi trofi musim ini selepas mara ke separuh akhir ASEAN Club Championship serta suku akhir AFC Champions League Elite. – The Malaysian Update

The post JDT Sah Juara Liga Super Kali Ke-12 Berturut-turut appeared first on The Malaysian Update.