JDT terus di puncak Liga, Kedah kutip tiga mata di laman sendiri

Football
15 Jul 2023 • 8:16 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super 2023 selepas membelasah Kelantan FC 5-0 pada aksi berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, malam semalam.

Kejayaan malam ini menyaksikan JDT terus melebarkan rekod tanpa kalah selepas 17 perlawanan.

Harimau Selatan membuka jaringan pada minit kesembilan hasil rembatan luar kotak penalti Fernando Forestieri, menewaskan penjaga gol tuan rumah Mohammad Johan Tendot.

Tandukan Oscar Arribas pada minit ke-23 meletakkan anak buah Esteban Solari itu di hadapan sebelum Forestieri berjaya menghidu peluang di hadapan pintu gol lawan untuk menambah gol ketiga pada minit ke-60.

Kecuaian pemain Kelantan mengundang padah apabila JDT menyumbat gol keempat menerusi Bergson da Silva sebelum pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid menoktahkan kemenangan Harimau Selatan dengan gol kelima pada minit ke-77.

Sementara itu, di KEDAH, tuan rumah mengutip mata penuh hasil kemenangan 3-1 ke atas Kelantan United FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol skuad Kenari dijaringkan Ifedayo Olusegun pada minit ke-54 dan 74 manakala gol ketiga pula menerusi sepakan deras Amirbek Juraboev menewaskan penjaga gol Kelantan.

Pasukan pelawat bagaimanapun memperoleh gol sagu hati menerusi Ismaheel Akinade sebelum wisel penamat ditiupkan. -Bernama