
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menafikan dakwaan berhubung salah guna Memorandum Persefahaman (MoU) mitigasi banjir, pengairan dan saliran bernilai RM17 bilionMenteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu berkata tiada sebarang dana pernah diterima di bawah MoU yang ditandatangani pada 15 Mac 2024 antara Jabatan Pengairan dan Saliran bagi pihak Kementerian dengan Shaanxi Construction Engineering Malaysia Sdn Bhd (SCEM), sebuah anak syarikat Fortune 500 dari China.
“Keperluan pembiayaan berpotensi dianggarkan sebanyak RM17 bilion, yang mampu mewujudkan sehingga 20,000 peluang pekerjaan.
“Bertentangan dengan spekulasi, tiada dana pernah diterima di bawah MoU ini. Dokumen itu hanyalah satu pernyataan minat dan tidak membentuk sebarang komitmen kewangan yang mengikat,” katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Beliau berkata MoU itu hanya membenarkan syarikat berkenaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan usaha wajar di 11 daerah sungai yang dikenal pasti untuk projek mitigasi banjir, pengairan dan saliran iaitu Moyog, Petagas, Likas, Putatan, Tawau, Bandau, Kedamaian, Membakut, Padas, Pegalan dan Dataran Bengkok.
“Perbincangan ketika itu menumpukan kepada struktur pembayaran balik berpotensi melalui kredit karbon di bawah Perjanjian Pemuliharaan Alam (NCA) serta penjualan pasir.
“MoU itu adalah satu usaha berani bagi memutuskan Rantai Kebergantungan Sabah terhadap Malaya dengan memanfaatkan sumber anugerah Tuhan bagi menyelesaikan masalah serta keperluan kita sejajar prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.
“Namun, mekanisme pembayaran balik itu tidak menjadi kenyataan. NCA tidak dapat digunakan akibat tentangan oleh parti politik tempatan tertentu, NGO yang mempunyai kepentingan tersendiri termasuk mengambil tindakan undang-undang serta membuat aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain penentangan daripada perkhidmatan awam sendiri.
“Kerajaan Persekutuan pada 12 Julai 2024 melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar mengharamkan eksport pasir walaupun pasir adalah sumber negeri. Tanpa mekanisme pembayaran balik yang disahkan SCEM tidak dapat meneruskannya dan oleh itu tiada dana disalurkan,” katanya.
Tambahnya sebarang perjanjian selepas proses usaha wajar juga perlu melalui penilaian menyeluruh serta perundingan bersama pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), Pejabat Peguam Besar Negeri dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri Negeri.
“Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa RM17 bilion telah disalah guna atau dialihkan adalah tidak berasas sama sekali dan tidak mempunyai merit. Kerajaan Negeri menegaskan bahawa projek ini tidak pernah dilaksanakan, justeru tiada dana diterima sejak awal,” katanya.
Beliau berkata ketidakmampuan untuk meneruskan inisiatif ini berpunca daripada cabaran peraturan dan pentadbiran termasuk tentangan NGO tertentu yang mempunyai kepentingan, isu yang belum diselesaikan berhubung rangka kerja dagangan karbon serta sekatan persekutuan terhadap eksport sumber. Faktor-faktor ini menghalang pemuktamadan susunan kewangan yang diperlukan.
“Buat masa ini, pembiayaan bagi projek mitigasi banjir, pengairan dan saliran terpaksa diperoleh melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Ke-14, Ke-15, Ke-16 dan Ke-17. Ini sememangnya suatu keadaan yang dikesali.
“Bagaimanapun, perbincangan sedang dijalankan untuk meneroka projek alternatif dan mekanisme pembiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman ini menekankan kepentingan penjajaran peraturan secara menyeluruh serta sokongan institusi yang lebih luas sebelum melaksanakan perjanjian pembangunan berskala besar walau sebaik mana pun niatnya,” katanya.
Beliau mengulangi komitmen Maffi dan Kerajaan Negeri terhadap ketelusan serta akauntabiliti dalam semua projek akan datang, selain memperkenalkan langkah sokongan yang dapat memperkukuh daya tahan Sabah terhadap perubahan iklim, bencana alam, dan keselamatan makanan.
“Sebarang dakwaan bahawa RM17 bilion telah disalah guna atau dialihkan adalah tidak berasas sama sekali dan tidak mempunyai merit,” tegas Jeffrey sambil menambah, beliau berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan pembohongan, kenyataan tidak berasas dan penerbitan palsu.
