
Jejambat Bandar Saujana Putra Dibuka Kepada Pengguna Ahad Ini
Jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter yang dibina untuk mengatasi masalah kesesakan trafik di kawasan sekitarnya akan mula dibuka kepada pengguna pada Ahad ini.
Menurut EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim, jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dengan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) itu bakal dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Pemeriksaan akhir berkaitan teknikal telah dijalankan, semuanya dalam keadaan baik dan jejambat akan dibuka pada 7 Julai ini,” ujar beliau ketika ditemui di majlis pembukaan semula laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands semalam.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar telah mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk pembinaan jejambat baharu ini bagi mengurangkan masalah kesesakan di kawasan tersebut.
Amirudin juga menyatakan bahawa ini dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 65,000 penduduk dan pengguna SKVE serta ELITE dari arah Bandar Saujana Putra.
Sumber: Selangorkini
The post Jejambat Bandar Saujana Putra Dibuka Kepada Pengguna Ahad Ini appeared first on Siakap Keli.

