Jelajah AKM Pahang santuni pelajar kehilangan waris akibat Covid-19

29 Oct 2022 • 5:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Nasib pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih di sini Muhammad Ali Imran Deris,17, yang kehilangan kedua ibu bapanya pada tahun lepas mendapat perhatian apabila menerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang hari ini.

Muhammad Ali Imran, anak keempat daripada lima beradik berkata bantuan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahannya selepas hilang tempat bergantung.

Menurut Muhammad Ali Imran, bapanya Deris Ibrahim, 64, meninggal dunia secara mengejut pada Mac tahun lepas sebelum disusuli ibunya Liza Ahmad Nawawi, 46, akibat jangkitan Covid-19 pada September 2021.

“Perdana Menteri tanya bilangan adik beradik dan pesan supaya saya belajar rajin-rajin. Pesanan itu membuatkan saya lebih bermotivasi untuk belajar dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan nanti.

“Sebelum ini hanya bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menyara keluarga kerana ibu tidak bekerja selepas menghidap strok selama tujuh tahun sebelum dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia,“ katanya yang merupakan antara 15 penerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Keluarga Malaysia.

Muhammad Ali Imran ditemui Bernama selepas perasmian program Jelajah AKM Pahang oleh Ismail Sabri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Bercita-cita menjadi usahawan, remaja itu yang menetap di Kampung Jawa di sini berkata dia dan adiknya Muhammad Ali Iqram,13, kini dijaga dan disara oleh kakak mereka Nur Fatin Nabila, 29, Nurfatin Nadia, 28, dan Nurfatin Najiha, 25.

Seorang lagi penerima, Siow Gen Liang,15, yang kehilangan ibunya Ho Yoke Poo dan bapanya Siow Kheng Yin akibat jangkitan Covid-19 pada Ogos tahun lepas bersyukur menerima bantuan.

Pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang yang aktif dalam sukan bola keranjang itu berkata dia kini disara oleh abang sulungnya yang bekerja di Singapura.

“Gembira dapat berjumpa dengan Perdana Menteri dan terima kasih atas bantuan yang bermanfaat untuk saya,” katanya yang berasal dari Bentong, Pahang.

Selain sumbangan daripada Yayasan Keluarga Malaysia, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera kepada tujuh penerima. -Bernama