
SHAH ALAM, 15 MEI: Program Jelajah JobCare Selangor bakal melibatkan penyertaan syarikat berskala besar termasuk bertaraf multinasional dalam usaha menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
EXCO Pembangunan Sumber Manusia V Papparaidu berkata rundingan sedang dijalankan dengan beberapa syarikat utama sebelum mereka menyertai siri karnival akan datang.
“Buat masa ini, perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa syarikat berkenaan sebelum mereka menyertai karnival akan datang.
“Sepanjang tahun lalu, kita bantu lebih 3,000 pekerja dan dengan penglibatan syarikat besar, ia dapat menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.
Beliau berucap sempena sambutan Hari Pekerja peringkat negeri di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Program Jelajah JobCare yang bermula 19 April lalu di sembilan daerah menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan termasuk kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan bekas banduan.
Karnival kerjaya itu merangkumi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, pemasaran, kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan.
Dalam pada itu, Papparaidu menjelaskan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) turut memainkan peranan penting menyediakan latihan kemahiran selaras keperluan industri.
“Antara bidang utama yang ditawarkan termasuk automotif, elektrik, kimpalan, teknologi maklumat (IT), kulinari serta beberapa bidang lain yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja.
“Kursus di STDC dilaksanakan dengan pendekatan praktikal dan berasaskan industri, termasuk penempatan pelatih di syarikat berkaitan bagi memberikan pengalaman kerja sebenar,” katanya.

The post Jelajah JobCare libat syarikat multinasional, tawar kerja berpendapatan tinggi appeared first on Selangorkini.

