Jelajah tangkap ikan pleco diperluas, hampir 10 tan didaratkan

15 Dec 2024 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUBANG JAYA, 15 DIS: Lebih lima tan ikan asing berjaya didaratkan setakat empat hari Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) siri kedua di sepanjang lima kilometer anak Sungai Kuyoh, dekat Seri Kembangan.

Pengasas skuad pemburu ikan berkenaan berkata jumlah tangkapan itu melebihi separuh daripada 10 tan sasaran keseluruhan memandangkan keadaan cuaca baik berbanding siri pertama September lalu.

Menurut Mohd Haziq A Rahman, peningkatan tangkapan juga disebabkan strategi digunakan peserta yang menangkap ikan secara berkumpulan sekali gus memperoleh hasil tinggi.

“Semalam sahaja hampir 1.3 tan ikan pleco didaratkan. Minggu lepas lebih tiga tan dan hari ini kita jangka lebih satu tan ditangkap. Cuaca sangat baik memudahkan proses tangkapan.

image is not available
Pengasas Skuad Pemburu Ikan Asing Mohd Haziq A Rahman ditemui ketika Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco)di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 15 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Semua ikan ini akan dihantar ke hab Kerajaan Negeri di Seksyen 33, Shah Alam untuk dijadikan baja. Kita yakin capai sasaran memandangkan ada dua minggu lagi sebelum program berakhir,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Haziq berkata sepanjang Januari depan, pihaknya akan mengadakan siri jejalah menjala ikan itu di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi habitat utama spesis pemangsa.

Setakat ini beberapa lokasi dikenal pasti menjadi stesen sesuai antaranya Sungai Damansara, Sungai Hulu Langat di Batu 11 dan Sungai Klang melibatkan kawasan Puchong dan Kota Kemuning.

“Ini berdasarkan tinjauan. Kita pilih lokasi yang selamat dan jauh dari ancaman haiwan buas seperti buaya demi keselamatan peserta.

“Kita galakkan orang ramai menyertai program ini malah mengalu-alukan pandangan mereka sekiranya ada lokasi sesuai,” katanya.

image is not available
Ikan bandaraya dikumpulkan dalam Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 15 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Program tangkapan ikan asing siri kedua diteruskan sepanjang bulan ini dengan tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad.

Siri pertama dijalankan September lalu di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sebagai langkah memulihara spesies tempatan serta sungai.

Program julung kali itu berjaya mendaratkan 4,467 kilogram ikan dengan membabitkan penyertaan lebih 100 orang awam sekitar negeri ini.

Selain menjadi pemangsa, ikan invansif berkenaan juga berupaya menyebabkan berlakunya runtuhan tebing sungai dan ban memandangkan keupayaan menebuk lubang untuk bertelur.

image is not available
Peserta mengumpulkan hasil tangkapan dalam Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 15 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

image is not available
Peserta mengumpulkan hasil tangkapan dalam Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 15 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI