
SHAH ALAM, 3 OGOS: Program Jelapang Padi Darul Ehsan (JPDE) mencatatkan purata hasil tuaian sebanyak 7.5 tan metrik sehektar (MT/ha) bagi Musim 2/2025, iaitu kira-kira 70 peratus lebih tinggi berbanding purata hasil tuaian padi 4.4 MT/ha yang direkodkan di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata program itu membabitkan kawasan seluas 243 hektar sebagai projek perintis Pelan Transformasi Agro Selangor dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan yang lebih sistematik merangkumi penggunaan teknologi moden, amalan pertanian yang lebih cekap, pengurusan ladang yang tersusun serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, PKPS dan komuniti pesawah.
“Peningkatan hasil yang dicapai bukan sahaja memberikan pulangan ekonomi lebih baik kepada peserta program, malah memperkukuhkan agenda keselamatan makanan negeri menerusi penggunaan teknologi pertanian pintar seperti dron dan jentera bagi memastikan produktiviti sawah terus dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Khairil berkata langkah berterusan itu diambil bagi menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuhkan sekuriti makanan dan menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat melalui pengurusan sawah yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata fasa pertama musim baharu yang bermula pada 4 Julai lepas dijangka membuahkan hasil menjelang awal Oktober ini untuk meneruskan momentum keberhasilan yang telah dicapai.
“PKPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta KPKM di atas sokongan dan kerjasama padu dalam merealisasikan program JPDE sehingga membuahkan hasil.
“Kejayaan ini turut mengukuhkan peranan PKPS sebagai peneraju pembangunan sektor agromakanan Selangor yang sentiasa komited memperkenalkan inisiatif berimpak tinggi demi kesejahteraan pesawah dan jaminan bekalan makanan negara yang bermula dari sawah,” katanya.
Mohamad Khairil berkata impak positif daripada projek perintis itu memberi keyakinan baharu kepada sektor agromakanan tempatan untuk terus berkembang menerusi gabungan pengurusan moden yang cekap.
Beliau berkata kejayaan itu mengukuhkan model kerjasama strategik pelbagai pihak dalam memperkasakan ekonomi pesawah serta menarik minat generasi baharu untuk menceburi bidang penanaman padi.
“Program transformasi yang dilaksanakan secara berfasa ini dijangka terus menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Selangor pada masa hadapan,” katanya.

