Jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

25 May 2026 • 1:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah
Jemaah haji Malaysia mula bergerak secara berperingkat ke Arafah bagi menunaikan rukun kemuncak ibadah haji iaitu wukuf.

MAKKAH – Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak secara berperingkat ke Arafah bermula jam 7.30 pagi pada Isnin bagi menunaikan rukun kemuncak ibadah haji iaitu wukuf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pergerakan melibatkan enam maktab itu dijadual selesai sepenuhnya pada hari sama bagi memastikan semua jemaah tiba dengan selamat di Arafah.

Menurutnya, setiap maktab diperuntukkan sebanyak 25 bas dan akan melaksanakan tiga perjalanan bagi membawa jemaah ke Masyair.

“Alhamdulillah, sampailah masanya hari ini, hari yang penuh bersejarah. Bermulanya jemaah haji kita, duyufurrahman, bergerak ke Masyair dan ke Arafah.

“Kita bermula dari jam 7.30 pagi dan insyaALLAH semuanya akan selamat sampai di Arafah hari ini sebelum bermulanya wukuf esok,” katanya kerika menyaksikan pelepasan jemaah haji ke Arafah.

Dr Zulkifli turut memaklumkan beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan khutbah Arafah pada Selasa.

“InsyaALLAH kita akan memberikan pesanan terbaik agar ibadah haji ini menjadi pencetus kepada perubahan dan islah dalam kehidupan jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah serta menjaga kesihatan berikutan cuaca panas melanda Tanah Suci ketika ini.

“Kita nasihatkan supaya terus fokus. Cuaca panas, jangan keluar tengah hari kerana kita tidak mahu kesihatan jemaah tergugat.

“Kita mahu pastikan jemaah fokus kepada ibadah serta mengikut segala nasihat dan bimbingan diberikan termasuk mematuhi penempatan maktab dan khemah masing-masing,” ujarnya.

Beliau pada masa sama melahirkan keyakinan terhadap disiplin jemaah haji Malaysia yang disifatkan sentiasa bersedia sebagai tetamu ALLAH atau Duyufurrahman.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved