Jemaah Malaysia meninggal dunia, rebah di Dataran Masjidil Haram

2 May 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jemaah Malaysia meninggal dunia, rebah di Dataran Masjidil Haram
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun (tengah) menyampaikan perkembangan terkini kes kematian jemaah di Tanah Suci.

MAKKAH - Seorang jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M meninggal dunia di sini pada Jumaat akibat komplikasi jantung.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, Allahyarham merupakan lelaki berusia 65 tahun dari Pahang yang hadir ke Tanah Suci bersama isterinya.

Menurut beliau, jemaah berkenaan yang juga daripada kumpulan KT12 dan menginap di Maktab 65, Hotel Al Kiswah, rebah ketika berada di dataran Masjidil Haram bagi menunaikan solat fardu Jumaat.

“Rawatan awal bantuan pernafasan telah diberikan di lokasi kejadian sebelum beliau dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar.

“Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah hari di pusat rawatan berkenaan akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat Maghrib sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea.

Mengulas lanjut, beliau berkata, petugas kebajikan Tabung Haji (TH), kaunselor serta pembimbing ibadat haji telah menziarahi isteri Allahyarham bagi memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya.

Tambahnya, TH juga akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham serta menyalurkan manfaat perlindungan TH Khairat kepada waris berjumlah RM48,000.

“Allahyarham telah mendaftar dua sijil perlindungan dan jumlah manfaat berkenaan digandakan khas untuk jemaah haji.

“Pihak TH turut akan menganjurkan majlis bacaan tahlil bersama jemaah lain dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau dalam masa sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.