Jemaah umrah terkandas, penerbangan ke Jeddah batal saat akhir

13 Oct 2026 • 4:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jemaah umrah terkandas, penerbangan ke Jeddah batal saat akhir

KLUANG – Hasrat 11 ahli keluarga dari Taman Sri Lambak, di sini untuk menunaikan umrah kelmarin tidak kesampaian apabila penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Jeddah, Arab Saudi dibatalkan pada saat akhir.

Lebih mengejutkan, pembatalan itu dimaklumkan ketika mereka sedang bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira enam jam sebelum jadual penerbangan pada pukul 3 petang, semalam.

Wakil keluarga, Zainudin Alibawa, 32, berkata, mereka menerima berita pembatalan itu menerusi kumpulan WhatsApp daripada mutawif yang memaklumkan pihak syarikat penerbangan telah menghantar pesanan ringkas berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada 11 ahli keluarga termasuk ibu, isteri, anak berusia enam tahun serta saudara-mara sudah bertolak menuju ke KLIA selepas bermalam di sebuah rumah berhampiran lapangan terbang itu sejak semalam.

“Kami sedang bersarapan kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum mendapat makluman daripada mutawif bahawa penerbangan kami dibatalkan.

“Ketika itu, kami sudah bersiap-siap dan dalam perjalanan ke KLIA. Lebih kurang 10 minit sebelum sampai ke lapangan terbang, kami menerima berita tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Zainuddin berkata, mereka sekeluarga sudah membuat pelbagai persiapan termasuk menyewa sebuah van besar untuk membawa 22 beg pakaian bagi perjalanan umrah yang dijadualkan berlangsung selama 12 hari.

Katanya, walaupun pembatalan itu berlaku secara mengejut, mereka sekeluarga tidak terlalu terkejut kerana sudah mengikuti perkembangan berita berkaitan konflik di Asia Barat sejak beberapa hari lalu.

“Kami memang sudah bersedia dengan kemungkinan penerbangan terganggu. Saya juga sudah berpesan kepada ahli keluarga, terutama orang tua, supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana pelbagai perkara boleh berlaku.

“Pagi kelmarin kami turut menunaikan solat hajat agar perjalanan dipermudahkan, tetapi nampaknya perancangan kami terpaksa ditangguhkan,”katanya.

Mengulas lanjut, Zainudin berkata, pihak syarikat penerbangan menyediakan penginapan hotel selama satu malam di sekitar Sepang termasuk makanan dan pengangkutan dari KLIA selepas pembatalan dimaklumkan.

Menurutnya, kira-kira 40 jemaah dalam kumpulan sama turut ditempatkan di hotel berkenaan sementara menunggu perkembangan terbaharu daripada pihak pengurusan syarikat penerbangan dan agensi umrah.

“Mutawif memaklumkan kami supaya menunggu sehingga malam ini atau esok pagi untuk mendapatkan keputusan lanjut sama ada perjalanan akan dijadualkan semula atau terdapat aturan lain.

“Saya menghargai tindakan pantas mutawif yang menguruskan keadaan dengan baik. Mereka segera memberikan maklumat, menyelaras urusan dengan pihak penerbangan dan mengatur penginapan untuk semua jemaah,” katanya.

Zainuddin berkata, setakat ini mereka masih belum menerima pengesahan mengenai tarikh baharu penerbangan dan akan menunggu maklumat lanjut daripada pihak pengurusan agensi umrah. – KOSMO! ONLINE

 

The post Jemaah umrah terkandas, penerbangan ke Jeddah batal saat akhir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved