
Dalam usaha untuk menyokong program Jom Kembali Ke Sekolah, Larrie Corporation Sdn Bhd berbesar hati berganding bahu bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Choh, Rawang, Selangor bagi projek pengindahan semula dan keceriaan dua blok sekolah terbabit yang kini berwajah baharu.
Inisiatif komuniti Larrie yang bernilai RM68,000 ini turut menyaksikan jenama itu menaja tiga buah mural termasuk di laluan pejalan kaki utama dan Laluan H.I.P (Highly Immersive Programme) Larrie, di bawah seliaan panitia Bahasa Inggeris SMK Sungai Choh.

Sebagai sebuah syarikat kasut terkenal, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini selaras dengan matlamat Larrie Corporation Sdn Bhd untuk bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia memberi keceriaan dan menarik minat pelajar ke sekolah.
Mengulas tentang kerjasama ini, Pengarah Pemasaran Larrie Corporation Sdn Bhd, Lenson Chong berkata, pihaknya berbesar hati dan ingin menjadi prihatin terhadap keperluan komuniti setempat.
“Tajaan yang berikan pada hari ini adalah sebahagian daripada teras kami sebagai jenama tempatan yang ingin menjadi prihatin terhadap keperluan komuniti khususnya di negeri syarikat kami beroperasi.
“Selain membolehkan kami bersama-sama meluangkan masa dengan masyarakat setempat, kami juga ingin mencipta lebih banyak saat-saat indah bersama orang ramai yang pelbagai termasuk pelajar-pelajar sekolah.
“Ini adalah masa untuk kami menampilkan penghargaan kepada mereka, seiring dengan sasaran kami untuk menghargai antara satu sama lain” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Sungai Choh, Mohd Suhaimi Abdullah berkata, pihak sekolah sangat menghargai sumbangan yang dihulurkan oleh pihak Larrie Corporation Sdn Bhd kerana secara tidak langsung usaha ini akan meningkatkan minat murid-murid untuk ke sekolah.
“Pihak sekolah sangat menghargai sumbangan yang dilaksanakan oleh LARRIE Corporation Sdn Bhd. Ini merupakan satu penambahbaikan dan perubahan yang cukup penting bagi kami, terutamanya bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah.
“Besar harapan saya agar keceriaan yang disumbangkan ini dapat dihargai oleh semua warga SMK Sungai Choh,” katanya.
Yang Dipertua PIBG SMK Sungai Choh, Azli Bin Abd Razak pula mengucapkan terima kasih kepada Larrie Corporation Sdn Bhd kerana sudi menaja sekolah berkenaan.
“Saya percaya dengan perubahan ini pasti akan menyuntik semangat pelajar untuk ke sekolah sekaligus meluaskan lagi konsep Kementerian Pendidikan Malaysia, Anak Yang Baik Lagi Cerdik ABC),” tambahnya.
Selain memberi wajah baharu kepada sekolah ini, mesej yang disampaikan menerusi mural yang disumbangkan oleh LARRIE Corporation turut menekankan amalan gaya hidup sihat, kepentingan ilmu serta menarik minat murid untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Majlis perasmian Keceriaan Blok SMK Sungai Choh yang diadakan baru-baru ini turut menyaksikan acara penyerahan cek kepada Mohd Suhaimi.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada SMK Sungai Choh kerana sudi menerima sumbangan daripada pihak Larrie bagi berkongsi ‘kegembiraan’ kepada pelajar-pelajar di sekolah ini. Kami berharap sumbangan ini akan membawa keceriaan kepada mereka dan menanam sikap untuk rajin ke sekolah” tambah Lenson lagi.

Inisiatif terbaharu oleh Corporation Sdn Bhd itu merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan syarikat yang diusahakan sepanjang tahun. Bertujuan mewujudkan impak positif dalam komuniti di lokasi ia beroperasi, Larrie Corporation menyasarkan untuk menjalankan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan pada masa akan datang. - Getaran, 15 Mei 2024
Foto : Khai Azfar (Guru SMK, Sungai Choh, Rawang).
