Jenayah komersial 2024: Tawau catat kerugian RM98.7 juta

11 Feb 2025 • 4:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Sebanyak 149 kes jenayah komersial dilaporkan di sini tahun lepas dengan kerugian dianggar bernilai RM98.7 juta, kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin.

Beliau berkata jenayah penipuan panggilan telefon mencatatkan kes tertinggi dengan 45 kes.

Advertisement“Mangsa jenayah ini termasuk golongan berpendidikan tinggi, jadi sebab itu saya nasihati masyarakat supaya sebarang urusan lebih baik dilaksanakan di pejabat terlibat daripada terus mempercayai sebarang panggilan yang kita terima dengan mendakwa daripada jabatan-jabatan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Jasmin turut menasihati semua mangsa yang terlibat agar tampil membuat laporan polis kerana siasatan boleh dilakukan termasuk mengesan penjenayah terlibat atau mengambil tindakan lain sama ada melalui institusi kewangan dan sebagainya.

SPONSORED CONTENT How Spritzer’s silica rich natural mineral water makes your skin healthier When it comes to skincare, the first thought on our minds would be beauty products such as serums, creams, and masks. However, beauty experts and even researchers have stated that drinking more water can be just as crucial for your skin's health. Read more Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan bagi menimbulkan kesedaran masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan tawaran yang tidak munasabah.

“Saya juga menggesa semua pihak memperbanyakkan hebahan melalui saluran media seperti Facebook Polis Tawau berkaitan kes scam (penipuan) supaya masyarakat mendapat maklumat sekali gus tidak mudah terperdaya,” katanya.

AdvertisementSementara itu, beliau berkata indeks jenayah daerah ini merekodkan penurunan sebanyak 18.2 peratus tahun lepas, apabila mencatatkan 650 kes dilaporkan dalam tempoh Januari – Disember, berbanding 795 kes dalam tempoh sama pada 2023.

Jasmin berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 145 kes atau 18.2 peratus, manakala kes didakwa di mahkamah turut meningkat pada tahun lepas.

AdvertisementMenurutnya, sebanyak 470 kes didakwa di mahkamah iaitu 72.3 peratus dan antara peratus pertuduhan tertinggi bagi daerah kontinjen Sabah apabila IPD Tawau melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan iaitu 45 peratus.

Katanya, tindakan agresif Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau melaksanakan pelbagai operasi, terutamanya Ops Tapis sepanjang 2024, turut merekodkan kejayaan membanggakan apabila tangkapan meningkat sebanyak 300 atau 17.65 peratus iaitu 1,700 kes berbanding 1,400 tangkapan pada 2023.

“Sebanyak 10 Ops Tapis dilaksanakan yang menyaksikan 300 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah dadah dan 30 kes direkodkan di bawah Seksyen 39N Akta Dadah Berbahaya 1952 menerusi 45 tangkapan.

“Tangkapan itu melibatkan rampasan dadah masing-masing sebanyak 25,110.97 gram syabu; 3,348.54 gram ganja dan 68.540 gram ketamin,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Tawau dan Penyampaian Anugerah Tawau Sejahtera peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai statistik jenayah komersil, beliau berkata 149 kes pada 2024 menurun berbanding 161 kes pada 2023, namun dengan peningkatan kerugian iaitu RM98,708,519.74 berbanding RM11,800,088.56 pada 2023.

Pada majlis itu, Jasmin menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Daerah Tawau kepada 35 pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam, yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing serta penglibatan dalam bidang sukan.

Beliau turut memberikan sijil penghargaan kepada 16 pengamal media di daerah ini dan menyampaikan enam kategori Anugerah Khas sebagai pengiktirafan berbanding hanya satu kategori pada tahun lepas (Tokoh Tawau Sejahtera).

Kategori tersebut ialah Pegawai Awam Terbaik 2024, Salmiati Abdul Talip; Penolong Pegawai Penyiasat Terbaik 2024, Sarjan Abd Hishamuddin Sitam; Pegawai Penyiasat Terbaik 2024, Inspektor Vasugan A/L Ganesan; Anugerah Khas PERKEP 2024, Inspektor Siti Zaidah Mustapha; Anugerah Balai Polis Sejahtera, Balai Polis Tawau; dan Tokoh Tawau Sejahtera, ASP Ghazali Abdul Gani.

Jasmin berkata, anugerah tersebut diberikan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta pencapaian pegawai dan anggota polis dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kesejahteraan masyarakat di daerah ini.

“Anugerah ini juga bertujuan memberi motivasi kepada warga IPD Tawau agar terus berkhidmat dengan cemerlang, berintegriti, komited dan profesional dalam menjalankan tugas seharian,” katanya.