Intipati berita
- Jenazah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said selesai disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada jam 10.10 pagi tadi.
- Solat jenazah dipimpin Imam Muhammad Abid Ayub dan dihadiri ratusan jemaah termasuk ahli keluarga, rakan penggiat seni serta orang ramai.
- Beberapa pemimpin negara turut hadir memberikan penghormatan terakhir, antaranya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
- Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan usia, diabetes dan jangkitan paru-paru.
Jenazah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said selesai disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, pagi ini sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 untuk dikebumikan.
Menurut laporan Harian Metro, solat jenazah yang berlangsung pada jam 10.10 pagi itu dipimpin Imam masjid berkenaan, Muhammad Abid Ayub dan disertai ratusan jemaah.
Antara yang hadir ialah ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni serta orang ramai yang datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh sastera negara itu.
Beberapa pemimpin negara turut hadir

Majlis solat jenazah itu turut dihadiri beberapa kenamaan termasuk Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.
Hadir sama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
A Samad Said meninggal dunia di HKL

Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang semalam.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke wad HKL selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan usia tua, selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.
Pemergian A Samad Said pastinya meninggalkan kesan besar kepada dunia sastera tanah air, memandangkan sumbangan dan karya beliau cukup besar dalam mengangkat martabat kesusasteraan Melayu.
The post Jenazah A Samad Said Selesai Disolatkan, Ratusan Jemaah Hadir Beri Penghormatan Terakhir appeared first on Oh! Media.





