Jenazah Dr Abdullah Fadzil selamat dikebumi

LocalPolitics
6 Sep 2023 • 8:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan yang meninggal dunia pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta di sini, petang ini.

Allahyarham yang juga Orang Besar Jajahan Kinta dan bekas Timbalan Menteri Luar, selamat dikebumikan sekitar jam 3.15 petang, dengan dihadiri kira-kira 200 orang termasuk kenamaan, pimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Dr Abdullah Fadzil, 78, meninggal dunia kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut hadir di pengkebumian itu, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang berhemah, selain banyak menyumbang kepada kemajuan negara khususnya dalam bidang sukan dan politik.

Beliau berkata sumbangan terbesar Allahyarham yang akan sentiasa dikenang ialah ketika berjaya membawa Malaysia menjuarai Piala Thomas pada 1992, selepas kali terakhir memenanginya pada 1967.

“Dalam bidang politik pula, ketokohan beliau bermula sejak menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno Perak. Kemudiannya, memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang dan seterusnya dilantik sebagai timbalan menteri di beberapa kementerian.

“Secara peribadi (mengenali beliau), Allahyarham seorang yang berhemah dan hanya akan berhujah bila perlu, serta membabitkan perkara-perkara penting,” katanya ketika ditemui media.

Anak sulung Allahyarham Fizelle Che Wan, 52, ketika ditemui berkata bapanya telah dimasukkan ke Hospital KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, seminggu yang lalu kerana demam panas.

“Setelah menjalani rawatan dua hari lepas (4 Sept) keadaan kesihatan arwah ayah bertambah baik, tetapi Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Beliau berkata bapanya merupakan individu yang penyabar dan sentiasa memberi sokongan kepada anak-anaknya dalam pelbagai diceburi.

“Ayah tak pernah marah atau paksa kami ikut jejak langkahnya. Kalau melibatkan sukan badminton, arwah memang selalu bersemangat tinggi untuk sama-sama membangunkan sukan badminton,” katanya.

Dr Abdullah Fadzil pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Luar pada 1987 dan Timbalan Menteri Pertahanan pada 1995, selain menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1993 hingga 2000. -Bernama