
ALOR SETAR - Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayob akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, di sini pada awal pagi Isnin.
Solat jenazah akan dilakukan di masjid berkenaan sebelum diterbangkan dengan pesawat khas dari Alor Setar untuk disemadikan di kampung halamannya di Johor.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham diuruskan terlebih dahulu di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sebelum dibawa ke masjid pada jam 12.10 tengah malam.
Lebih 200 individu termasuk pemimpin politik menunggu di Jabatan Forensik HSB untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Ahli Parlimen Pulai itu.
Antaranya Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuddin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Allahyarham Salahuddin, 61, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB pada jam 9.23 malam, pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN:


