
SEPANG - Jenazah nahas pesawat ringan di Elmina, Sharipuddin Shaari, 53, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sultan Hishamuddin Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pada Ahad.
Jenazah tiba di Masjid Sultan Hishamuddin BBST untuk disolatkan jam 12.20 tengah hari dan selesai dikebumikan jam 12.50 tengah hari.
Lebih 100 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan Ustaz Saudi Jusoh sebelum dibawa ke tanah perkuburan berhampiran masjid untuk dikebumikan.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan masjid dan tanah perkuburan mengiringi perjalanan akhir Sharipuddin.
Dalam kejadian Khamis, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat ringan membabitkan dua kru pesawat, enam penumpang serta dua orang awam.
Sharipuddin yang juga pemandu e-hailing antara yang terkorban selepas kereta dipandunya dilanggar pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di kawasan berkenaan.
Arwah Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan isteri, Suriana Muda, 43, dan dua anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, dan Nur Izzara Arissya, 9 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN:
Jenazah Johari selamat dikebumikan
