Jenazah suami isteri mangsa bunuh di Merbok selamat dikebumi

27 Mar 2026 • 11:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SUNGAI PETANI, 27 MAC: Jenazah pasangan suami isteri mangsa bunuh di Kampung Belau, Merbok selamat dikebumikan pada 9 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Atiq, di sini.

Dua kenderaan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa jenazah Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53, tiba di masjid berkenaan pada 7 malam, selepas dituntut keluarga dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar petang tadi.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada saudara mara dan penduduk kampung hadir pada upacara pengebumian yang bermula selepas solat maghrib.

Anak tunggal Zikri, Mohammad Shahmi, 24, seorang anggota tentera yang bertugas di Kuala Lumpur ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan ditemu bual.

Semalam media melaporkan tiga beranak ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis di rumah mereka di kampung berkenaan.

Jenazah anak kepada mangsa wanita, yang merupakan suspek kes itu, dikebumikan petang semalam selepas selesai bedah siasat dijalankan di hospital yang sama.