
Jenazah Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Selamat Dikebumikan
Jenazah suspek lelaki yang ditembak mati dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram telah selamat dikebumikan di Pusara Islam Sungai Tiram, Ulu Tiram pada Selasa.
Menurut Sinar Harian, jenazah tiba pada jam 12.15 tengah hari dan dikebumikan kira-kira setengah jam kemudian di tanah perkuburan yang berdekatan dengan rumah keluarganya di Kampung Sungai Tiram.
Upacara pengebumian tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, dengan pihak media dan orang ramai tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan serta pintu utama dikawal oleh lima anggota polis.
Proses pengebumian ini hanya dihadiri beberapa penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis.
Difahamkan, proses pengebumian lewat dijalankan kerana tiada ahli keluarga yang menuntut jenazah selepas bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI).
Waris lelaki tersebut hanya menuntut jenazah pada pagi Selasa sebelum urusan pengebumian dilakukan.
Bagaimanapun, kubur suspek terletak di hujung tanah perkuburan tersebut, kira-kira 300 meter dari kubur lain.
Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, memaklumkan bahawa Pejabat Kadi Daerah mengarahkan kubur suspek dijarakkan dari kubur lain.
“Untuk itu kita telah menyediakan tapak kubur di hujung kawasan tanah perkuburan berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Jumaat lalu, media melaporkan berlaku serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.30 pagi yang mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi cedera.
Dalam kejadian tersebut, seorang penyerang bertopeng dan berpakaian gelap serta bersenjatakan parang ditembak mati di lokasi kejadian.
Anggota polis yang maut ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala anggota yang cedera ialah Koperal Mohd Hasif Roslan bertugas di Unit Rondaan Cegah Jenayah.
Susulan insiden itu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek serta dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) direman untuk membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian
The post Jenazah Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Selamat Dikebumikan appeared first on Siakap Keli.
