Jentera HARAPAN Sungai Buloh ganda usaha dekati penduduk, manfaat tiga hari terakhir

15 Nov 2022 • 6:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING, 15 NOV: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh menggandakan usaha mendekati penduduk sebagai pecutan terakhir sebelum hari pengundian pillihan raya umum ke-15 Sabtu ini.

Calon Datuk R Ramanan berkata lebih seminggu berkempen, pihaknya sudah menjelajah hampir keseluruhan 28 pusat daerah mengundi bagi meraih sokongan.

“Saya berasa lega kerana esok Datuk Seri Anwar Ibrahim (pengerusi HARAPAN) akan datang membantu kempen di sini. Saya yakin kehadirannya membawa gelombang sokongan yang besar.

“Kita yakin mampu pertahankan kerusi HARAPAN di Parlimen ini. Dalam tempoh beberapa hari ini jentera akan terus berusaha dengan lebih kuat,” katanya kepada Selangorkini.

image is not available
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan bersarapan bersama penduduk Kg Melayu Subang di Warung Subang Pit Stop, Kg Melayu Subang pada 11 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ramanan berkata enam tawaran yang terkandung dalam manifestonya akan diberi perhatian memandangkan ia perkara nyata dihadapi penduduk Sungai Buloh.

Beliau yang menggantikan penyandang R Sivarasa bakal dicabar bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional dan Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional).

Turut bertanding, Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.