
BUTTERWORTH - Pas Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan ahli parti itu berhubung isu pencalonan Presiden Parti Gerakan (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ia bagi menerangkan keadaan supaya permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.
"Kita sentiasa cuba tangani masalah ini...jentera Pas akan akur dan turun padang membantu kempen (Dominic). Ini arahan daripada pucuk pimpinan Pas, kita akan berikan sokongan kepada semua calon-calon yang dikemukakan,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan pada Jumaat meminta ahli dan penyokong parti itu untuk menerima pemilihan Dominic sebagai calon DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu dengan hati terbuka.
Takiyuddin berkata, keputusan mengenai pemilihan Dominic dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan.
Dominic yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan penyandang kerusi DUN berkenaan Azrul Mahathir Aziz daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRN Pulau Pinang, 12 Ogos ini. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
ARTIKEL BERKAITAN: Dominic sah bertanding di DUN Bayan Lepas

