Rakyat di 71 buah negara, termasuklah Malaysia kini menikmati kemasukan ke negara Jepun untuk bercuti tanpa perlu mendaftar untuk sebarang visa untuk lawatan jangka pendek 19-30 hari ke negara tersebut.
Akan tetapi, sistem pengecualian visa ini nampaknya telah disalahguna, dan ia dilaporkan bahawa pada tahun 2016 sahaja, 28,000 daripada pelawat yang ditangkap melanjutkan lawatan mereka secara haram adalah rakyat negara-negara yang mempunyai pengecualian visa ini, termasuklah Malaysia.
Untuk menangani masalah ini, kerajaan Jepun akan memperkenalkan satu sistem pra-semakan untuk pelawat dari negara-negara dengan pengecualian visa yang dinamakan JESTA ataupun Japan Electronic System for Travel Authorization, sama seperti ESTA yang digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Sebelum terbang ke Jepun, pengunjung akan perlu ke laman web JESTA kelak untuk menjawab beberapa pertanyaan seperti tempoh kunjungan ke negara tersebut, dan dimanakah mereka akan menetap sepanjang di Jepun. Proses ini akan diteliti pihak imigresen Jepun, dan kemudiannya pengunjung akan diberitahu samada mereka dibenarkan untuk masuk ataupun tidak.
Sekiranya permohonan melalui JESTA tidak lepas, laporan Japan Today mengatakan bahawa mereka masih boleh mendaftar untuk visa untuk melawat Jepun melalui pejabat kedutaan Jepun di negara-negara mereka.
Walaupun begitu, sistem JESTA ini dilaporkan juga hanya akan beroperasi sekitar tahun 2030, dan pembangunan sistem ini hanya akan dimulakan sekitar tahun ini. Negara Jepun telah menyenaraikan 71 buah negara yang dikecualikan keperluan visa yang akan dimasukkan kedalam program ini, dan seperti yang dikatakan sebelum ini, Malaysia ialah salah satu daripadanya.


