
Jepun Anjur Piala Dunia Acara Kutip Sampah Dikenali Sebagai “SpoGomi”
Negara Jepun baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan menjadi tuan rumah Piala Dunia “SpoGomi” pertama pada November 2023, lapor Oddity Central.
Difahamkan bahawa kejohanan tersebut melibatkan pasukan dari seluruh dunia dengan menjelajah di sekitar Tokyo untuk mengutip sampah.
“SpoGomi” adalah gabungan sport (sukan) dan gomi, yang bermaksud sampah dalam bahasa Jepun.
Sukan “SpoGomi” ini merupakan pertandingan popular di mana terdiri daripada tiga hingga lima orang dalam satu pasukan untuk mengutip sampah paling banyak dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Setiap pasukan mempunyai masa selama 60 minit untuk mengumpul sampah yang paling banyak dari kawasan yang ditetapkan.
Kesemua sampah tersebut akan diletakkan ke dalam beg kod warna untuk setiap jenis termasuk sisa boleh dibakar, plastik kitar semula, tin logam dan sebagainya.
Setelah masa tamat, sampah akan ditimbang dan diperiksa untuk pengasingan yang betul.
Pasukan yang berjaya mengutip sampah yang paling banyak akan dikira sebagai pemenang. Namun, sekiranya seri, pemenang ditentukan oleh kualiti sampah.
Mata akan diberikan mengikut jenis sampah dan puntung rokok akan mendapat mata terbanyak.
Piala Dunia “SpoGomi ” yang julung kali diadakan dikatakan bagus untuk menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan ruang awam.
Namun begitu, dari segi aspek persaingan, terdapat sedikit keraguan tentang pasukan yang akan bergelar pemenang.
Hal ini kerana warga Jepun sudah cukup sinonim dengan membersihkan diri ke mana-mana mereka pergi.
Sejak Piala Dunia, peminat Jepun telah mengejutkan dunia apabila mereka mengutip sampah dan meninggalkan dalam keadaan bersih dari tempat duduk penonton selepas tamat perlawanan.
Terdapat juga fakta bahawa Jepun mencipta “SpoGomi” dan telah mengadakan pertandingan tempatan sejak 2008.

Dapat sambutan dari orang ramai
Sukan ini mendapat sambutan yang sangat menakjubkan, kini beratus-ratus pertandingan telah dianjurkan pada setiap tahun.
Antara peraturan yang ditetapkan dalam pertandingan ialah seperti dilarang memungut sampah berhampiran jalan raya atau landasan kereta api.
Selain itu juga, setiap pasukan itu juga perlulah menghormati peraturan pasukan lain.
Kesemua peserta akan memakai sarung tangan yang membolehkan mereka mengutip hampir semua jenis sampah serta penyepit untuk mengutip sampah.
Pada permulaan pertandingan, mereka semua akan melaungkan “Memungut sampah adalah satu sukan!” sebelum berlari ke kawasan yang ditetapkan.
Pada akhir masa yang ditetapkan, semua pasukan akan kembali ke garisan permulaan untuk menimbang dan memeriksa sampah mereka.
Memetik Oddity Central lagi, pasukan yang menang biasanya menerima sijil atau trofi daripada penganjur dan saguhati daripada penaja.
Walau bagaimanapun, “SpoGomi” ini sebenarnya bukanlah tentang ganjaran semata-mata.
Para peserta hanya menikmati sifat daya saing sukan ini, bekerjasama dalam satu pasukan, menghabiskan masa berharga di luar rumah dan juga menjaga kebersihan bandar mereka.
“Kami percaya adalah penting untuk mengumpul sampah di bandar kerana terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah sisa di lautan di seluruh dunia,” kata Takayasu Udagawa, yang menyelia Piala Dunia SpoGomi yang pertama.
“Jadi, adalah lebih baik jika kita boleh mengutip sampah itu sebelum ia masuk ke lautan kerana ia lebih sukar untuk berkumpul pada ketika itu,” katanya.
Sumber: Oddity Central
The post Jepun Anjur Piala Dunia Acara Kutip Sampah Dikenali Sebagai “SpoGomi” appeared first on Siakap Keli.



