Jepun bakal lancar misi bersejarah ke bulan planet Marikh

WorldSpace
18 Oct 2026 • 9:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jepun bakal lancar misi bersejarah ke bulan planet Marikh

TOKYO: Para saintis Jepun kini berada pada fasa akhir persiapan untuk melancarkan misi penerokaan ke bulan planet Marikh bagi mengambil sampel batuan yang dipercayai mampu membongkar asal usul sistem suria serta kehidupan di bumi.

Misi berkenaan yang dijadualkan menjadi penerbangan ulang-alik pertama seumpamanya ke rantau Marikh menggunakan kapal angkasa tanpa pemandu Martian Moons eXploration (MMX).

Misi ini merupakan kerjasama strategik antara Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) dengan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, serta disokong oleh beberapa universiti dan syarikat teknologi utama.

Menurut JAXA, roket H3 yang membawa probe MMX dijadualkan berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima pada Selasa jam 4.41 pagi (waktu tempatan).

Kapal angkasa tersebut dijangka tiba berhampiran Marikh dalam tempoh setahun, sebelum mengorbit bulan utamanya, Phobos, selama hingga tiga tahun untuk mendarat dan mengumpul sekurang-kurangnya 10 gram sampel permukaan.

Sebuah kenderaan perayau yang dinamakan IDEFIX akan mendarat terlebih dahulu bagi menjalankan pemerhatian permukaan demi memastikan pendaratan kapal utama berjalan lancar dan selamat.

Pengurus Projek MMX, Yasuhiro Kawakatsu mengesahkan pengambilan sampel dari Phobos ini bukan sahaja yang pertama di dunia, malah menandakan penerbangan ulang-alik julung kali ke sistem Marikh.

JAXA turut memaklumkan misi ini akan mengkaji potensi penggunaan Phobos sebagai stesen angkasa semula jadi dengan menentukan keperluan asas bagi penerbangan ulang-alik ke Marikh.

Ia suatu elemen yang disifatkan amat penting bagi penerokaan berkapal pada masa hadapan. MMX juga akan membuat pemerhatian ke atas satu lagi bulan Marikh, Deimos sebelum berlepas pulang ke bumi.

Menerusi misi ini, para saintis berharap dapat merungkai proses pembentukan Marikh dan dua bulannya yang menjadi kunci penting dalam memahami sejarah kelahiran sistem suria.

Antara teori utama pembentukan bulan berkenaan termasuklah hipotesis pembentukan akibat rempuhan gergasi serta teori tangkapan yang mengandaikan bulan-bulan tersebut merupakan asteroid yang terperangkap oleh tarikan graviti Marikh. AFP

The post Jepun bakal lancar misi bersejarah ke bulan planet Marikh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved