Jepun mengisytiharkan darurat keselamatan siber selepas serangan siber yang menjejaskan lebih 20 syarikat utama di negara tersebut menurut laporan Financial Times. Antara yang telah menjadi mangsa serangan penggodam baru-baru ini ialah kedai serbaneka Lawson, syarikat kereta sewa Times Car dan syarikat kereta api JR East.

Serangan yang dilakukan menyebabkan puluhan juta data penumpang telah tertiris ke arena web. Dalam kes JR East, lebih 1.6 juta alat emel pelanggan telah dicuri. Menteri keselamatan siber Jepun Toshiharu Furukawa menyifatkan keadaan ini sebagai “sangat kritikal”, manakala pihak Ibu Pejabat Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSH) menyebutnya sebagai “kecemasan dalam ruang siber.”
Peningkatan insiden serangan siber ini mungkin disebabkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dengan mudah mencari kerentanan sekuriti pada perisian serta sistem sebelum melakukan serangan tanpa memerlukan manusia. Dalam beberapa insiden terdahulu, AI boleh mempercepatkan proses menggodam kerana berfikir lebih pantas serta mempunyai akses kepada pelbagai teknik memintas sistem sekuriti yang pernah dicipta.
Akibatnya lebih banyak insiden keselamatan siber direkodkan di Jepun dalam sembilan bulan pertama 2026 berbanding keseluruhan 2025. Syarikat Jepun telah digesa memperketatkan proses pengesahan identiti. Sebagai contoh, institusi kewangan digalakkan menerima dokumen pengenalan yang mengandungi cip identiti, selepas kebocoran imej lesen memandu dalam serangan terhadap Times Car.
AI yang dahulunya bermula sebagai chatbot yang boleh mencernakan data dan menulis artikel dengan pantas kemudian berevolusi menjadi pengganti pekerja manusia. Dalam masa 3 tahun sahaja ia kini menjadi senjata siber yang boleh diakses sesiapa sahaja.




