
Jepun Keluar Amaran Khas Risiko Gempa Bumi Besar Magnitud 8.0 Atau Lebih
Jepun pada Isnin mengeluarkan amaran khas berhubung peningkatan risiko berlakunya gempa bumi kuat bermagnitud 8.0 atau lebih susulan satu gegaran kuat yang melanda kawasan utara negara itu sehingga mencetuskan amaran tsunami, lapor AFP.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan kebarangkalian berlakunya satu lagi gempa besar ketika ini adalah lebih tinggi berbanding keadaan biasa.
Amaran bagi wilayah utara itu dikeluarkan beberapa jam selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda kawasan berkenaan, yang turut menyebabkan bangunan tinggi di Tokyo bergoyang walaupun terletak ratusan kilometer dari pusat gegaran.
Gempa berkenaan pada awalnya dianggarkan bermagnitud 7.4 sebelum disemak kepada 7.5 dan kemudiannya 7.7.
Difahamkan, ia berlaku pada kira-kira jam 4.53 petang (waktu tempatan) di perairan Pasifik berhampiran wilayah Iwate.
Setakat ini, pihak berkuasa memaklumkan tiada laporan mengenai kecederaan serius atau kerosakan besar.
"Walaupun tidak pasti sama ada gempa besar akan benar-benar berlaku, kami meminta orang ramai supaya bersiap sedia dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri masing-masing," kata seorang pegawai Pejabat Kabinet.
