Jepun lancar misi kaji bulan Marikh

WorldSpace
16 Aug 2026 • 9:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jepun lancar misi kaji bulan Marikh

TANEGASHIMA: Saintis Jepun sedang membuat persiapan untuk melancarkan misi ke bulan-bulan Marikh bagi mendapatkan sampel yang mungkin membantu merungkai asal usul sistem suria dan kehidupan di bumi.

Misi tanpa kru dikenali sebagai Martian Moons eXploration (MMX) itu dijadual dilancarkan dari Pusat Angkasa Tanegashima dalam beberapa bulan akan datang dan turut berpotensi menjadi asas kepada usaha menghantar manusia ke planet merah itu pada masa depan.

Kapal angkasa berkenaan yang diperkenalkan kepada media pada Khamis lalu akan berada di orbit Marikh selama kira-kira tiga tahun dan cuba mendarat di Phobos, salah satu daripada dua bulan Marikh.

Ia akan mengumpulkan sekurang-kurangnya 10 gram bahan dari permukaan Phobos, manakala kenderaan penjelajah IDEFIX, dinamakan sempena anjing watak komik Asterix akan menjalankan pemerhatian di permukaan.

Kapal angkasa itu turut akan mengkaji Deimos, satu lagi bulan Marikh, tetapi tanpa mendarat di permukaannya. Kapsul yang membawa sampel kemudian akan kembali ke bumi dan dijangka mendarat di Australia sekitar 2031.

Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) berharap misi itu dapat memberikan petunjuk tentang bagaimana Marikh dan bulan-bulannya terbentuk, sekali gus membantu saintis memahami bagaimana sistem suria terbentuk.

Satu teori mengenai asal usul bulan-bulan Marikh ialah hipotesis perlanggaran gergasi yang menyatakan kedua-duanya terbentuk selepas objek cakerawala bertembung dengan Marikh.

Sementara itu, hipotesis tangkapan pula mencadangkan bulan-bulan tersebut sebenarnya asteroid dari kawasan luar sistem suria yang kemudiannya ditarik masuk oleh graviti Marikh.

“Menentukan teori yang tepat dapat membantu menjelaskan bagaimana persekitaran yang sesuai untuk kehidupan mungkin terbentuk di planet-planet berbatu,” kata JAXA.

JAXA berkata, misi itu turut akan mengkaji kemungkinan menjadikan Phobos sebagai stesen angkasa semula jadi dengan membangunkan teknologi yang diperlukan bagi perjalanan pergi dan balik ke Marikh, sesuatu yang dianggap penting untuk penerokaan Marikh oleh manusia.-AFP

The post Jepun lancar misi kaji bulan Marikh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved