Jepun siasat bandar Toyama manipulasi banci penduduk

WorldPolitics
8 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jepun siasat bandar Toyama manipulasi banci penduduk

TOKYO: Sebuah bandar di Jepun didakwa memanipulasi data banci dengan memasukkan isi rumah kosong bagi mengelakkan jumlah penduduknya kelihatan semakin merosot.

Polis menyerbu pejabat pentadbiran bandar Toyama di barat Jepun pada 3 Oktober lalu selepas Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi mengesan ketidakselarasan dalam semakan data banci penduduk.

Kementerian itu berkata, pihaknya membuat laporan terhadap pegawai bandar yang terlibat dalam banci berkenaan, dengan mendakwa mereka menaikkan jumlah penduduk menerusi kemasukan isi rumah kosong dalam banci.

Pegawai bahagian banci penduduk kementerian itu, Kenta Tsuji, berkata ketidakselarasan data dikesan ketika peringkat akhir semakan data banci tanpa mendedahkan lanjut.

Anggaran penduduk Toyama yang dikeluarkan pada Mei berbeza hampir 3,000 orang berbanding angka dalam rekod akhir banci yang diterbitkan minggu lalu.

Bandar itu mempunyai kira-kira 400,000 penduduk dan pernah diiktiraf Bank Dunia sebagai ‘model contoh global’ bagi bandar padat yang berjaya mengawal perluasan bandar serta mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kereta.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, Datuk Bandar Toyama, Hirohisa Fujii, memohon maaf dan menegaskan pegawainya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan itu.

Pemalsuan statistik boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga enam bulan mengikut undang-undang Jepun.

Pakar berkata, dakwaan pemalsuan itu mencerminkan tindakan melampau yang sanggup dilakukan sesetengah kerajaan tempatan untuk mengelakkan gambaran kawasan mereka mengalami penyusutan penduduk.

Jepun merupakan antara negara yang mengalami proses penuaan penduduk paling pesat di dunia, menyebabkan kerajaan tempatan berdepan risiko pemotongan bajet serta tekanan untuk mengekalkan daya tarikan kawasan masing-masing.

Penduduk Jepun pernah mencapai 128 juta orang pada 2008 sebelum menurun kepada kira-kira 123 juta ketika ini, yang hampir menyamai jumlah penduduk negara itu pada 1989.- NYTimes

 

The post Jepun siasat bandar Toyama manipulasi banci penduduk appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved