Jerantut Square dan projek air bawah tanah antara tumpuan pelaburan Pahang di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025

13/10/2025 - 16:55
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Okt – Kerajaan Pahang memberi tumpuan kepada promosi inisiatif pembangunan berimpak tinggi sebagai salah satu strategi utama menarik pelaburan dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri.
Antara inisiatif utama yang dipromosikan ialah Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menekankan pembangunan kawasan bandar bersepadu di sekitar stesen pengangkutan awam bagi meningkatkan keterhubungan, mobiliti penduduk dan kemudahan akses kepada perkhidmatan serta peluang ekonomi.
Selain itu, Pahang juga menekankan pembangunan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) yang direka untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor ekonomi tertentu dengan memberi tumpuan kepada projek berskala besar yang mampu memberi impak ekonomi tinggi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kedua-dua inisiatif itu berkait rapat dengan aspek keterhubungan dan rantaian bekalan logistik di sepanjang laluan ECRL.
“Dengan mengintegrasikan TOD dan EAP dengan jaringan rel yang efisien, Pahang berupaya menyediakan platform pembangunan yang mampan, mempercepatkan pergerakan barangan dan perkhidmatan, serta membuka potensi pelaburan baharu yang memberi manfaat kepada keseluruhan negeri.
“Sebagai usaha mempromosikan inisiatif ini, Kerajaan Negeri Pahang melalui Invest Pahang sekali lagi menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2025 yang menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta mempromosikan potensi pelaburan Pahang di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 13 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta menyertai Pavilion Invest Pahang yang merangkumi dua segmen utama iaitu Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) dan Selangor International F&B Expo (SIE F&B).
Sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara rakan strategik Invest Pahang dan syarikat pelabur.
Antara yang menjadi tumpuan ialah projek Eksplorasi dan Pengkomersilan Sumber Air Bawah Tanah antara Yayasan Pahang dan Bubbles O2 Sdn. Bhd serta Projek Pembangunan Jerantut Square bernilai kira-kira RM130 juta, yang dijangka siap pada 2026.
Projek itu akan menjadi mercu tanda baharu di Jerantut, mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi Pahang Barat. - DagangNews.com
standard

