Jerat haram ancam hidupan liar dimusnahkan - Perhilitan

Environment
5 Sep 2026 • 3:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerat haram ancam hidupan liar dimusnahkan - Perhilitan
Antara jenis jerat yang dimusnahkan menerusi tindakan OBK baru-baru ini. Gambar kecil: Abdul Kadir - Foto Perhilitan

KUALA LUMPUR - Taktik pemasangan jerat haram di lokasi hotspot jenayah hidupan liar dikesan sebelum dimusnahkan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) baru-baru ini.

Operasi rondaan serta penguatkuasaan di kawasan berisiko bermula 11 hingga 25 Ogos itu dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Perbadanan Taman Negeri Perak serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebanyak 27 utas jerat telah ditemukan dan dimusnahkan.

Menurutnya, jerat yang ditemukan terdiri daripada jerat spring, jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon.

"Jumlah tersebut tidak termasuk jebak dan perangkap lain yang turut ditemukan semasa rondaan selain beberapa khemah.

"Dari segi penggunaannya (jerat), jenis dan saiz jerat lazimnya bergantung kepada spesies hidupan liar yang ingin disasarkan.

"Jerat spring lazimnya digunakan untuk menyasarkan babi hutan, manakala jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon boleh digunakan untuk menyasarkan hidupan liar yang lebih besar atau lebih kecil bergantung kepada diameter dawai atau tali serta saiz pelentik yang digunakan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Abdul Kadir berkata, secara umumnya, semakin besar saiz jerat dan pelentik yang digunakan, semakin besar saiz hidupan liar yang berpotensi untuk terjerat.

Jelasnya, walaupun dalam sesetengah keadaan pemburu mungkin memasang jerat dengan sasaran spesies tertentu seperti harimau, kaedah ini pada asasnya tidak selektif kerana mana-mana hidupan liar yang melalui laluan tersebut berpotensi untuk terkena dan terjerat.

"Keadaan ini menyebabkan spesies bukan sasaran turut berisiko mengalami kecederaan serius atau mati sekiranya terjerat dan tidak dibebaskan dalam tempoh yang singkat," ujarnya.

Tambahnya, secara lazimnya, jerat dipasang di kawasan yang dikenal pasti mempunyai laluan pergerakan atau denai hidupan liar berdasarkan tanda-tanda kehadiran dan pergerakan haiwan di sesuatu kawasan.

"Jerat kemudiannya dipasang dan disamarkan dengan persekitaran sekeliling bagi mengurangkan kemungkinan dikesan," ujarnya.

Tegasnya, kerjasama rentas agensi, rondaan berterusan dan tindakan berfokus terus menjadi benteng utama dalam melindungi hidupan liar serta habitatnya.

"Jerat dan pemburuan haram bukan sekadar mengancam hidupan liar, tetapi juga mengancam khazanah negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved