Jerat wanita berusia, helah warga asing dapatkan 'lesen' pandu kenderaan

24 Oct 2026 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerat wanita berusia, helah warga asing dapatkan 'lesen' pandu kenderaan
Muhammad Kifli (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta acara menembak di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20 Putrajaya pada Sabtu.

PUTRAJAYA - Kahwini wanita sudah berusia atau balu warga tempatan dipercayai helah warga asing bagi menggunakan nama pasangan itu untuk didaftarkan pada kenderaan.

Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya telah melipatgandakan penguatkuasaan pemandu warga asing (Pewa) dan tindakan drastik dilaksanakan mulai Julai lalu seperti mana arahan Ketua Pengarah JPJ.

Menurutnya, mana-mana kesalahan pemandu warga asing akan diambil tindakan saman terhadap pemandu dan pemilik.

"Kenderaan disita, kita tidak benarkan tawaran kompaun, dengan maksud lain bawa kes ke mahkamah.

"Ini untuk gambarkan keseriusan kita kerana kita kenakan tindakan ke atas pemandu dan pemilik," katanya kepada pemberita ketika Program Advanced Leadership and Management Program (ALMP) Siri 89 Bil 4/2026 di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20 di sini pada Sabtu.

Beliau mendedahkan, siasatan mendapati apabila tindakan diambil, warga asing mula menukar modus operandi.

Katanya, mereka menjanjikan untuk mengahwini rakyat Malaysia dan gunakan nama pasangan itu untuk tujuan daftarkan pada kenderaan.

"Ini modus operandi bahaya kerana mereka memberi janji manis agar rakyat kita membenarkan kenderaan digunakan.

"Mereka (warga asing) sasarkan wanita berusia 60 tahun ke atas terdiri daripada ibu tunggal, balu atau wanita tidak berkahwin. Tetapi dengan syarat nama pasangan ini digunakan. Ada yang berkahwin dan guna (nama) semata-semata," katanya.

Jelas beliau, bagi tempoh sejak tahun 2024 hingga 15 Oktober lalu, JPJ mengeluarkan 523,035 notis saman menerusi Op Pewa.

"Bagi tahun 2024, sebanyak 183,300 saman, tahun 2025 (191,676 saman) dan tahun ini 148,059 saman," katanya.

Tegasnya, bagi memastikan pemandu warga asing tidak berleluasa, JPJ memohon kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk tidak benarkan kenderaan milik mereka disewa warga asing.

"Jika rakyat kita tidak benarkan, pemandu asing ini tidak boleh memandu di jalan raya," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved