Jerayawara: Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa

24 Jul 2024 • 3:52 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Jerayawara: Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa

1. Program Jerayawara: Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa ini merupakan antara program yang dirangka dalam usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membanteras kegiatan buruh paksa dan juga pemerdagangan orang dalam negara melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

2. Program ini dilaksanakan secara kolaborasi strategik yang melibatkan pihak Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan juga jabatan di bawah KESUMA selain JTKSM iaitu Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).

3. Program ini bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat berhubung isu buruh paksa. Melalui aktiviti Jerayawara atau road tour, kita akan mendidik mereka tentang usaha-usaha yang kita ambil dalam menangani isu ini. Selain itu, kita juga memperkasakan amalan terbaik dalam pengurusan pekerja dalam kalangan sektor perburuhan dan swasta.

Di samping itu, kita berusaha menerapkan konsep ‘inclusivity’ dalam usaha meningkatkan kesedaran umum berkaitan isu buruh paksa dan pemerdagangan orang. Konsep ini adalah merujuk kepada konsep ‘kerjasama erat’ dan kekitaan sama seperti peribahasa ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh’.

4. Objektif lain pelaksanaan program ini adalah sebagai langkah jaminan terhadap pengiktirafan pihak luar yang meletakkan kita kini di Tier 2 hasil Laporan USTIP dan ia juga adalah cadangan dalam laporan tersebut. Ini bagi memastikan kita tidak lagi diperlekehkan di peringkat global berhubung buruh paksa dan pemerdagangan orang.

5. JTKSM juga telah melaksanakan operasi penguatkuasaan sebanyak 352 bagi tempoh Januari sehingga Jun 2024. Hasil daripada operasi terbabit, sebanyak 721 Kertas Siasatan telah dibuka yang membawa kepada 140 pendakwaan dengan nilai denda yang dikenakan berjumlah RM39,600. Manakala sebanyak 359 Kertas Siasatan dikenakan kompaun yang membawa kepada penawaran kompaun bernilai RM1,768,00.00.

6. Program seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan bukan sahaja penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara dapat disebarluaskan tetapi juga khidmat nasihat dapat diberikan secara terus kepada orang awam. Ini kerana kita sedar bahawa masyarakat umum dan setempat sangat penting untuk menjadi mata dan telinga Kementerian dalam segala usaha menangani apa juga isu global seperti buruh paksa dan pemerdagangan orang.

7. KESUMA melalui JTKSM dan juga jabatan serta agensi di bawahnya akan terus mempergiatkan usaha dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan lunas perundangan dalam memastikan kelestarian dan keberlangsungan aktiviti pembangunan industri perburuhan negara.