Jerayawara Siswa Selangor platform dekati mahasiswa, kongsi inisiatif negeri

LocalPolitics
16 May 2026 • 10:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerayawara Siswa Selangor platform dekati mahasiswa, kongsi inisiatif negeri

JOHOR BAHRU, 16 MEI: Siri jelajah Jerayawara Siswa Kita Selangor ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara terus menjadi platform Kerajaan Negeri mendekati mahasiswa serta berkongsi pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata program yang dilaksanakan sejak 2024 itu turut membuka ruang kepada mahasiswa kelahiran Selangor memahami perancangan serta usaha pentadbiran negeri dalam menjaga kebajikan rakyat dan pembangunan masa depan negeri.

Image from: Jerayawara Siswa Selangor platform dekati mahasiswa, kongsi inisiatif negeri
Dato' Menteri Besar Dato'Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika sesi dialog bersama mahasiswa sempena majlis Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru pada 16 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya juga ingin berhubung dan berkomunikasi dengan mahasiswa, menyampaikan maklumat-maklumat baharu berkenaan negeri serta rancangan masa depan.

“Mereka teruja dengan apa yang kita sampaikan dan insya-Allah program ini akan diteruskan dari masa ke semasa supaya dapat mengetahui perkembangan negeri dan harapan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Image from: Jerayawara Siswa Selangor platform dekati mahasiswa, kongsi inisiatif negeri
Sebahagian mahasiswa yang hadir ke majlis Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru pada 16 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Program yang menjadi siri jelajah pertama tahun ini menghimpunkan kira-kira 400 pelajar Selangor dari UTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Dalam program itu, Amirudin turut menyampaikan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) berserta data internet percuma serta Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada pelajar yang layak selain melancarkan Majlis Mahasiswa Selangor (MASEL) UTM.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor, Hidayat Mohd Sauffi berkata program berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada mahasiswa sejak diperkenalkan.

Image from: Jerayawara Siswa Selangor platform dekati mahasiswa, kongsi inisiatif negeri
Pengerusi Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Negeri Selangor Hidayat Mohd Saufi berucap ketika sesi dialog Ada Apa Dengan Selangor ketika majlis Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru pada 16 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Katanya, siri jelajah itu akan diteruskan ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka bulan depan sebelum diperluaskan ke IPTA sekitar Pantai Timur.

“Selepas enam penganjuran sebelum ini, kita lihat sambutan sangat menggalakkan malah pelajar turut terima manfaat dengan inisiatif dihebahkan,” katanya.