
Hampir setiap tahun, beberapa negara di Asia Tenggara berdepan masalah jerebu yang sering dikaitkan dengan kebakaran hutan di Indonesia.
Lebih membimbangkan, keadaan jerebu tahun ini agak teruk sehingga mengehadkan jarak penglihatan dan menjejaskan aktiviti harian penduduk di kawasan terjejas.
Situasi ini mungkin buat ramai tertanya-tanya, terutama kenapa Malaysia dan Singapura seolah-olah tidak melakukan apa-apa untuk membantu menghentikan punca kebakaran itu, kebakaran di Kalimantan.
“Kenapa tak buat apa-apa?” Persoalan itu mungkin bermain dalam fikiran orang ramai apabila udara semakin tercemar, sehingga aktiviti harian terganggu.
Persoalan sama turut dibangkitkan seorang pengguna Threads, @zatizatizatiiii, yang mengambil inisiatif meneliti isu tersebut bagi memahami mengapa keadaan ini sukar ditangani.
Kenapa Malaysia Dan Singapura Tak Boleh Bertindak Sendiri Tangani Kebakaran Di Indonesia

Hasil penelitian itu mendapati terdapat beberapa kekangan undang-undang dan diplomatik yang menyebabkan usaha menangani jerebu rentas sempadan bukanlah semudah yang disangka.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki wilayah Indonesia untuk memadamkan kebakaran kerana negara itu mempunyai kedaulatan terhadap wilayahnya sendiri.
Meskipun kebakaran tersebut menghasilkan asap yang merentasi sempadan, keadaan itu tidak memberikan kuasa automatik kepada negara jiran untuk bertindak di sana.
Tetapi, Malaysia masih boleh membangkitkan isu tersebut melalui saluran diplomatik serta menawarkan bantuan memadamkan kebakaran, tetapi pelaksanaannya memerlukan kerjasama Indonesia.
Situasi Singapura juga hampir sama kerana negara itu boleh memantau titik panas, menyediakan langkah perlindungan dan bekerjasama dengan negara jiran.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak bermaksud Singapura mempunyai kuasa undang-undang untuk mengawal tindakan yang berlaku dalam wilayah Indonesia tanpa persetujuan.
Jadi, timbul pula persoalan lain yang mungkin lebih besar, iaitu mengapa Malaysia dan Singapura tidak membawa Indonesia ke Mahkamah Dunia.
Secara teknikal, negara boleh mengemukakan pertikaian kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tetapi tindakan tersebut bukanlah semudah memfailkan aduan semata-mata.
ICJ hanya boleh mendengar pertikaian antara negara apabila bidang kuasanya diiktiraf melalui persetujuan atau asas undang-undang yang berkenaan.
“Kalau ada bukti asap dari Indonesia menjejaskan rakyat Malaysia, bukankah itu sudah cukup?” Hakikatnya, bukti sahaja tidak menjamin kes boleh dibicarakan.
Malaysia perlu menunjukkan bahawa ICJ mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian tersebut, termasuk melalui perjanjian berkaitan atau persetujuan negara terlibat.
Tanpa asas bidang kuasa yang sah, Malaysia tidak boleh memaksa Indonesia menghadapi perbicaraan di ICJ hanya berdasarkan kesan pencemaran rentas sempadan.
Sebenarnya, negara ASEAN sudah mempunyai perjanjian khusus untuk menangani masalah ini, iaitu Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Malaysia, Singapura dan Indonesia merupakan pihak dalam perjanjian tersebut yang bertujuan mencegah, memantau serta mengurangkan pencemaran akibat kebakaran tanah dan hutan.
Bagaimanapun, mekanisme penyelesaian pertikaiannya mengutamakan rundingan dan perbincangan secara aman, bukannya secara automatik membawa negara terlibat ke mahkamah untuk menerima hukuman.
Ini bermakna perjanjian tersebut menyediakan kerangka kerjasama serantau, tetapi keberkesanannya turut bergantung pada pelaksanaan, koordinasi dan kesungguhan negara anggota.
Oleh itu, satu lagi pilihan ialah memperkukuh peraturan ASEAN, termasuk pemantauan kebakaran, perkongsian maklumat serta tindakan lebih jelas terhadap pihak bertanggungjawab.
Baca juga:
Kerajaan Mansuh Lima Skim Perkhidmatan Berkaitan Penerbangan Susulan Perubahan Status CAAM
Jerebu: Umat Islam Di Seru Adakan Solat Hajat Serentak Di Seluruh Negara
Pendekatan itu boleh merangkumi akauntabiliti syarikat yang menyebabkan kebakaran, mekanisme tindak balas lebih pantas dan kerjasama penguatkuasaan merentas sempadan.
Akhirnya, persoalannya bukan sekadar mengapa Malaysia dan Singapura tidak membawa Indonesia ke mahkamah, tetapi sejauh mana ASEAN boleh bertindak lebih tegas.
Rakyat tidak sepatutnya terus menunggu musim jerebu berikutnya sambil berharap kerjasama serantau mencukupi untuk melindungi kesihatan dan kehidupan seharian mereka.




