
JAKARTA - Indonesia memberi kebenaran kepada Malaysia untuk mengerahkan aset pemadaman kebakaran bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi antara punca jerebu rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kelulusan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto itu membolehkan Malaysia menyelaras penghantaran sebuah pesawat amfibia Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota bagi membantu operasi pemadaman.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan bukan hanya tertumpu kepada memadam kebakaran yang sedang berlaku, sebaliknya Malaysia dan Indonesia turut bersetuju mengambil langkah jangka panjang bagi mencegah kejadian kebakaran hutan dan tanah daripada berulang serta mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.
Menurutnya, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan selama dua jam bersama Prabowo di Istana Hambalang, sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jakarta.
“Seperti yang saya nyatakan, perkara ini bukan sekadar satu isyarat atau keputusan Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek dengan memadam kebakaran semata-mata.
“Sebaliknya, kami membincangkannya dan mencapai persetujuan mengenai perancangan jangka panjang supaya masalah jerebu akibat kebakaran ini tidak berulang.
“Bukan hanya di Kalimantan, tetapi juga di Sumatera dan beberapa wilayah lain di Indonesia,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di Jakarta hari ini.
Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata Malaysia sebelum ini secara rasmi menawarkan bantuan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, ketika pertemuan pada Khamis lalu, termasuk menjalankan operasi pengeboman air di kawasan terjejas.
Beliau berkata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, diberi tanggungjawab menyelaras bantuan itu bersama NADMA, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi berkaitan.
“Dengan kebenaran sudah diperoleh daripada Presiden Prabowo, penyelarasan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi perlu dilaksanakan sekarang.
“Saya berharap Kementerian Luar, dalam menyelaras perkara ini, memastikan semua pihak yang terlibat dalam operasi dapat bekerjasama secara teratur dan bersepadu,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid berkata sebanyak 1,426 titik panas dikesan di Kalimantan berdasarkan maklumat yang diterima Malaysia, menunjukkan skala kebakaran yang berlaku serta keperluan untuk tindakan berterusan.
Beliau berkata Prabowo turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang sudah diambil terhadap 95 syarikat yang didapati terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka di kawasan terjejas di Kalimantan.
Ketika ditanya sama ada terdapat syarikat Malaysia dalam senarai berkenaan, Zahid berkata tiada maklumat sedemikian diberikan setakat ini, manakala pihak berkuasa Indonesia masih menjalankan siasatan berhubung kemungkinan penglibatan rakyat atau pemegang saham Malaysia.
“Kesemua syarikat itu berdaftar di Indonesia. Bagaimanapun, dari segi pemegang saham, mungkin terdapat sebahagian kecil syarikat berkenaan yang dimiliki oleh pemegang saham dari Malaysia,” katanya.
Zahid berkata kesan jerebu turut dirasai di Malaysia, khususnya Sarawak, sekali gus menjadikan kerjasama antara kedua-dua negara dan pihak berkaitan penting bagi mengurangkan pencemaran udara.
“Ini khususnya melibatkan Sarawak dan bacaan API perlu dikurangkan menerusi tindakan yang diambil Malaysia serta beberapa negara lain, dan sudah tentu oleh pihak berkuasa pengurusan bencana di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata Malaysia menyambut baik usaha berterusan Indonesia dalam menangani kebakaran berkenaan, termasuk bantuan yang turut diberikan oleh beberapa negara lain.
“Sebagai negara jiran terdekat Indonesia, Malaysia tentunya tidak akan berdiam diri dalam menghadapi masalah ini dan akan terus memberikan kerjasama,” katanya. - Getaran, 19 September 2026





