
JAKARTA – Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kalimantan Timur merekodkan sebanyak 413 titik kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di rantau tersebut, dengan kawasan seluas 936.96 hektar hangus, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan data BPBD Kalimantan Timur setakat Rabu lalu, Kabupaten (daerah pentadbiran) Kutai Barat mencatatkan kawasan kebakaran paling luas iaitu 269.34 hektar daripada 70 titik kebakaran hutan dan tanah.
Jumlah titik kebakaran hutan dan tanah tertinggi pula direkodkan di Kabupaten Paser dengan 85, diikuti Kota Samarinda dengan 75 dan Kutai Barat yang merekodkan 70 titik panas.
Pemangku Ketua Kecemasan dan Logistik BPBD Kalimantan Timur, Sugeng Priyanto berkata, kebakaran hutan dan tanah kini melanda beberapa kabupaten dan bandar di wilayah itu, terutamanya di kawasan luas seperti Berau, Kutai Timur dan Kutai Kartanegara.
“Tahap kebakaran yang tertinggi atau dominan mengikut pemantauan kami kini direkodkan di Berau, Kutai Timur dan Kartanegara.
“Berdasarkan laporan yang saya terima, kebakaran hutan dan tanah berlaku di semua wilayah, namun tahap dan skalanya berbeza-beza,” kata Sugeng dalam wawancara dengan laman berita detikKalimantan kelmarin.

Sementara itu, Kota Pontianak di wilayah Kalimantan Barat mengalami kualiti udara terburuk di Indonesia setakat pagi kelmarin susulan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di kawasan sekitarnya.
Menurut data laman pemantauan kualiti udara, IQAir, setakat pukul 6.56 pagi (waktu tempatan) kelmarin, kualiti udara di Pontianak mencapai bacaan indeks 191 yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Kepekatan zarah halus berbahaya PM2.5 dalam udara di Pontianak adalah 22.4 kali ganda lebih tinggi daripada piawaian kadar selamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
PM2.5 adalah partikel debu kotor halus yang biasanya dikeluarkan daripada asap kenderaan bermotor dan kilang. Ia boleh memasuki saluran darah serta paru-paru manusia.
Berikutan kualiti udara tidak sihat, IQAir meminta orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar, menutup tingkap bagi mengelakkan udara luar masuk dan memakai pelitup muka sekiranya perlu keluar rumah.
Selain Pontianak, kualiti udara di beberapa bandar lain termasuk Tangerang Selatan di Banten, Bandung di Jawa Barat, Jakarta dan Serpon turut berada dalam kategori tidak sihat setakat pagi kelmarin.
Kebakaran hutan dan berterusan juga menyebabkan Kota Pontianak diselubungi jerebu tebal, dengan kualiti udara di paras bahaya bagi penduduk tempatan.
Pihak berkuasa tempatan bertindak mengisytiharkan darurat kebakaran bagi menangani situasi berkenaan.
Datuk Bandar Pontianak, Edi Rusdi Kamtono berkata, status darurat kebakaran hutan dan tanah masih kekal bagi memperkukuh pengendalian dan penyelarasan rentas sektor.
“Kami melakukan ini untuk memperkukuhkan penyelarasan dalam usaha bersama, baik dalam pencegahan kebakaran mahupun menangani kesan terhadap kesihatan awam,” kata Edi.
Asap jerebu menyelubungi Kota Pontianak, terutamanya pada waktu pagi dan petang.
“Berdasarkan pemantauan oleh pemantau kualiti udara bandar Pontianak di daerah Pontianak Tenggara, kualiti udara malam tadi dari pukul 9 malam (waktu tempatan) hingga 11 malam berada dalam kategori tidak sihat,” tambah Edi.
Laporan awal menyatakan, sebanyak 4,041 titik panas direkodkan di Kalimantan Barat. Daripada jumlah tersebut, 3,560 titik panas berada pada tahap sederhana, manakala 352 lagi dikategorikan tahap tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa jerebu yang menyelubungi Pontianak dipengaruhi oleh kebakaran tanah di beberapa daerah sekitarnya seperti Ketapang, Kubu Raya, Kayong Utara dan Landak.
Tiupan angin yang membawa asap ke Bandar Pontianak turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di kawasan tersebut. – AGENSI
The post Jerebu Kalimantan makin buruk, 936 hektar hutan hangus appeared first on Kosmo Digital.
