Jerebu: Kurang peranti, ibu bapa bekerja jejas PdPR

LocalFamily & Parenting
12 Oct 2026 • 3:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Kurang peranti, ibu bapa bekerja jejas PdPR

JOHOR BAHRU – Kekurangan peranti dan kekangan ibu bapa yang bekerja menyebabkan kurang 30 peratus murid sekolah rendah di Johor mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penutupan sekolah akibat jerebu.

Keadaan itu berbeza dengan murid sekolah menengah apabila kira-kira 70 peratus daripada mereka dilaporkan mengikuti pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta Negeri Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, murid sekolah rendah lebih memerlukan bimbingan ibu bapa untuk mengikuti pembelajaran, namun situasi itu sukar dipenuhi apabila kebanyakan ibu bapa perlu bekerja.

Menurutnya, kekurangan peranti untuk mengakses pembelajaran dalam talian turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada rendahnya penyertaan murid sekolah rendah dalam PdPR.

“Ketika pandemik Covid-19, ibu bapa kebanyakannya berada di rumah untuk membimbing anak-anak mengikuti PdPR. Namun, keadaan sekarang berbeza kerana ramai ibu bapa bekerja dan tidak dapat memantau pembelajaran anak-anak secara langsung,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana penutupan sekolah susulan jerebu berisiko menjejaskan kelancaran pembelajaran, khususnya bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Katanya, satu pasukan petugas dicadangkan bagi meneliti langkah seterusnya sekiranya keadaan jerebu berterusan selepas 16 Oktober, termasuk prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sebelum murid dibenarkan kembali ke sekolah.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah pemakaian pelitup muka di dalam kelas dan mengehadkan pergerakan murid di kawasan terbuka bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar. Bagi sekolah berasrama pula, pengajaran boleh dilaksanakan di dalam asrama dengan guru turun membimbing murid, sekali gus mengawal pergerakan mereka,” katanya.

Yahya turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan kelonggaran cuti kepada ibu bapa, termasuk cuti tahunan atau cuti bencana sekiranya bersesuaian, bagi membolehkan mereka membimbing anak-anak mengikuti PdPR di rumah. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Kurang peranti, ibu bapa bekerja jejas PdPR appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved