Jerebu: Satu keluarga masuk wad

Health & Fitness
14 Aug 2026 • 8:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Satu keluarga masuk wad

PETALING JAYA – Disangka hanya batuk dan sesak nafas akibat jerebu, namun seorang lelaki, isteri serta anaknya terpaksa dimasukkan ke wad selepas disahkan mengalami jangkitan adenovirus.

Pegawai perubatan, Dr. Nurul Yaqeen berkata, keluarga berkenaan sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital akibat bronkitis akut yang teruk, namun sekali lagi berdepan masalah pernafasan apabila penyakit itu menyerang mereka sekeluarga.

Kisah tersebut dikongsikan beliau menerusi hantaran di Facebook selepas menerima panggilan daripada jabatan kecemasan sebuah hospital mengenai satu keluarga yang mengalami sesak nafas.

“Dr, ada satu keluarga datang ke jabatan kecemasan. Suami isteri sesak nafas, anak kecil pun sama. Ketiga-tiga nampak teruk,” katanya yang berkongsi maklumat diterimanya menerusi panggilan telefon.

Dr. Nurul berkata, ketika tiba di wad kecemasan, beliau mendapati lelaki dikenali sebagai Zaki, tercungap-cungap dengan bantuan oksigen, manakala isterinya, Zalina, menerima rawatan nebulizer.

“Tidak jauh dari situ, seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun sedang duduk di pangkuan jururawat sambil menangis.

“Satu keluarga. Masuk wad bersama-sama. Bukan kali pertama. Tetapi kali kedua,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu bermula apabila anak pasangan berkenaan, Faris, mengalami batuk sebelum ibunya turut mengalami hal sama sehingga sesak nafas beberapa hari kemudian.

Katanya, Zaki kemudiannya turut mengalami batuk berkahak, demam dan sesak nafas yang teruk.

“Dr… adakah semua ni sebab jerebu?” soal Zaki seperti diceritakan Dr. Nurul.

Dr. Nurul berkata, jerebu sememangnya boleh menjadi pencetus masalah pernafasan, khususnya apabila udara mengandungi partikel halus seperti PM2.5 yang boleh merengsakan serta menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan.

“Apabila udara dipenuhi partikel halus seperti PM2.5, saluran pernafasan menjadi semakin sensitif. Sebab itu pesakit bronkitis dan asma mudah mendapat serangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan ujian swab respiratori keluarga itu akhirnya menunjukkan mereka positif adenovirus.

“Virus seperti adenovirus boleh menyebabkan keradangan saluran bronkus menjadi sangat teruk.

“Saluran udara membengkak, mukus semakin banyak dan otot saluran udara mengecut sehingga udara menjadi semakin sukar keluar masuk,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menjelaskan mengapa pesakit boleh mengalami rasa sesak nafas yang teruk sehingga seolah-olah lemas.

Dr. Nurul turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap batuk dan sesak nafas sebagai kesan jerebu semata-mata.

Katanya, jerebu dan pencemaran udara, khususnya PM2.5, boleh mencetuskan keradangan saluran pernafasan, memburukkan batuk serta sesak nafas dan meningkatkan risiko kemasukan ke hospital.

“Jangan tunggu sehingga nafas menjadi terlalu sempit untuk mendapatkan rawatan.

“Kerana setiap hela nafas yang kita ambil adalah nikmat yang tidak ternilai,” pesannya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), mengurangkan aktiviti luar ketika jerebu meningkat, menutup tingkap ketika kualiti udara buruk dan menggunakan penapis udara HEPA jika mampu.

Mereka yang perlu berada di luar ketika jerebu tebal pula disarankan memakai pelitup muka yang sesuai seperti N95, selain memastikan pengambilan ubat asma atau inhaler diteruskan mengikut arahan doktor.

“Dapatkan rawatan segera jika batuk semakin teruk, nafas berbunyi, sesak nafas bertambah, atau paras oksigen menurun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Satu keluarga masuk wad appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved