Semua sekolah di Johor akan ditutup selama dua hari bermula esok susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat di seluruh negeri.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan penutupan semua sekolah berikutan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di semua daerah di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, penutupan berkenaan ditetapkan pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjaga keselamatan serta kesihatan murid dan pelajar.
“Penutupan ini melibatkan seramai 617,258 murid dan pelajar di sebanyak 1,198 buah sekolah pentadbiran Kementerian Pendidikan (KPM).
“Semua sekolah di seluruh negeri Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid dan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran akan menangguhkan pelaksanaannya untuk dijadualkan semula, tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pihak berkaitan.
Katanya, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid dan pelajar dapat diteruskan.
Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri memahami keputusan berkenaan mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa dan penjaga yang masih perlu bekerja.
“Justeru, kerjasama dan pertimbangan majikan amatlah dihargai untuk memberikan fleksibiliti yang bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.
“Saya juga menyeru ibu bapa dan penjaga terus memantau kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah, memastikan mereka minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Setakat pukul 11 pagi tadi, kesemua lapan stesen pemantauan di Johor mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu antara 161 hingga 187.
Baca juga:Malah, sebanyak 335 institusi pendidikan di seluruh Batu Pahat telah diarahkan tutup mulai hari ini susulan bacaan IPU mencecah 208 di daerah berkenaan pada pukul 9 malam tadi.






