
JOHOR BAHRU – Semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober ini susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang berlaku di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjaga keselamatan dan kesihatan murid.
“Keputusan berkenaan turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya semua sekolah di negeri ini ditutup susulan keadaan jerebu.
“Keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama dalam keadaan semasa ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri memahami keputusan penutupan sekolah itu mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa dan penjaga yang masih perlu bekerja.
Sehubungan itu, beliau berharap majikan dapat memberikan fleksibiliti bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.
Dalam pada itu, Muhammad Naqib berkata, sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran akan menangguhkan pelaksanaannya.
“Pelaksanaannya akan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan sekolah, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan.
Katanya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
“Keputusan ini mungkin menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun dalam keadaan semasa, keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya memantau keadaan kesihatan anak-anak serta mengurangkan aktiviti di luar rumah sepanjang tempoh jerebu.
“Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak 335 institusi pendidikan di Batu Pahat diarahkan tutup hari ini susulan bacaan IPU yang berada pada paras tidak sihat.
Bacaan IPU Batu Pahat pada pukul 5 petang tadi ialah 177, berbanding 195 pada pukul 7 pagi dan 203 pada pukul 8 malam semalam.
Keadaan jerebu di beberapa kawasan di Batu Pahat dan Parit Raja turut menyebabkan jarak penglihatan terhad.-KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Semua sekolah Johor ditutup dua hari appeared first on Kosmo Online.





