
Jerung Terumbu Ditemui Mati, Cawan Plastik Tersangkut Di Kepala
Bangkai seekor ikan jerung terumbu ditemui ati oleh seorang pekerja pusat peranginan dipercayai berpunca daripada pencemaran sampah yang dibuat manusia, di Singapura
Gambar-gambar bangkai haiwan malang berkenan dikongsikan oleh salah seorang pengurus pusat peranginan tersebut, Tammy Lim, di akaun facebooknya. Menurut perkongsian tersebut, bangkai jerung itu ditemui sewaktu pasukan Operasi Pantai membuat rondaan keselamatan harian di Pantai Palawan.
Lim mengambil spesimen itu selepas dimaklumkan mengenai penemuan itu, dan ia dikenal pasti sebagai jerung terumbu dari spesis Blacktip.
Menurut Mothership, Lim mengesyaki bahawa jerung muda itu mungkin dihanyutkan semasa air pasang dan terdampar di atas di kawasan pantai dan akhirnya mati. Turut ditemui ketika itu adalah satu cawan plastik yang tersangkut dibahagian kepalanya.

Kepala jerung itu tersangkut melalui lubang di sisi cawan, dengan hujung muncungnya terkeluar melalui lubang lain. Selepas cawan plastik itu dicabut, terdapat kesan lekukan ditemui pada leher dan muncungnya. Ini menjadi petanda bahawa kepala haiwan itu mungkin sudah lama terperangkap dalam objek tersebut.

Walaupun tidak pasti sama ada sisa plastik itu yang menjadi punca kematian jerung itu, yang pasti cawan itu menjejaskan keupayaan jerung untuk terus hidup dan memburu makanan. Ada kemungkinan juga ia mati kerana kelaparan dan di hanyutkan ke darat.
Lim juga memberitahu bahawa bangkai jerung itu kemudian diserahkan kepada Muzium Sejarah Alam Lee Kong Chian di mana ia akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan.
“Ini adalah peringatan jelas bahawa kita mungkin tidak melihat kesan apa yang kita tinggalkan di pantai dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan marin kita,” kata Lim.
Jerung terumbu Blacktip adalah spesies yang diklasifikasikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Sumber: Mothership
The post Jerung Terumbu Ditemui Mati, Cawan Plastik Tersangkut Di Kepala appeared first on Siakap Keli.
